Masih ada keliru siapa kawan, lawan -Annuar Musa

Ketika Perak dilanda kemelut politik, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menganggap musuh sudah mengerah kekuatan untuk menggagalkan Perikatan Nasional (PN).

Tanpa menyebut krisis siasah di negeri itu, Menteri Wilayah Persekutuan berkata, masih ada yang keliru mengenai siapa kawan dan lawan dalam gabungan parti kerajaan kini.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan musuh sentiasa mengambil kesempatan yang ada untuk melemahkan gabungan, terutama dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Sebahagian dari kita keliru siapa teman siapa lawan. Siapa zimmi, siapa harbi. Siapa sejati, siapa munafik … yang mana kepentingan nasional, yang mana agenda personal.

“Kita tahu pihak musuh sudah mengerah seluruh kekuatannya dari dalam dan luar untuk gagalkan permuafakatan ini. Jarum halus mencucuk sana sini, termasuk di alam maya.

“Kini mereka menghidu kejayaan menjelang PRU ke-15,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Annuar juga berpendapat usaha penyatuan Melayu dan Muafakat Nasional (MN) satu pemikiran luar kotak yang sudah mengerah seluruh kekuatan pemikiran politik, sebelum menjayakannya.

“Sementara keputusan MN bersetuju membentuk PN juga melalui proses yang sama.

“Kedua- duanya sudah membuahkan hasil yang bukan kecil buat orang Melayu, umat Islam dan negara keseluruhannya,” tambahnya lagi.

Sumber:https://malaysiadateline.com/annuar-anggap-masih-ada-keliru-siapa-kawan-lawan/