Mayat pemandu wanita ditemui dalam kereta, dipercayai hanyut kerana arus banjir

Mayat pemandu wanita ditemui dalam kereta, dipercayai hanyut kerana arus banjir. Mayat seorang wanita ditemukan dalam kereta Perodua Myvi malam ini, dipercayai hanyut dibawa arus deras di Jalan Nitar Utama di sini, pagi tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Mohd Rizal Buang, berkata mayat wanita itu ditemukan dalam kereta berkenaan pada jam 10.19 malam ini, selepas keretanya ditemukan pada jam 6.55 petang tadi.

Beliau berkata, kereta berwarna kelabu milik mangsa berjaya dibawa keluar menggunakan peralatan “vehicle rockery system”, yang mengambil masa kira-kira 40 minit berikutan berdepan kesukaran akibat pokok yang menghalang.

“Kita berjaya menemukan mangsa selepas kereta berkenaan dibawa naik sebelum menyerahkannya kepada pihak polis pada jam 10.22 malam untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Terdahulu, kereta mangsa ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dalam keadaan terbalik pada jarak 15 meter daripada lokasi dia dilaporkan hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani mengesahkan penemuan mayat wanita itu, yang dipercayai pemandu Perodua Myvi yang dilaporkan hilang pagi tadi.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Mersing untuk proses bedah siasat dan pengecaman oleh ahli keluarga. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan berasingan, malam ini.

Pada kejadian kira-kira jam 6.49 pagi itu, mangsa yang berusia 23 tahun itu, dipercayai dalam perjalanan dari Mersing ke Kluang dan memandu di jalan raya yang telah dinaiki air sebelum dihanyutkan arus bersama-sama kereta yang dipandunya.

BACA JUGA:

70 lembu ternakan hanyut akibat banjir di Segamat

Kanser ginjal: kanak-kanak derita hadapi penyakit ini

Ramai yang sudah buat persiapan raya walaupun bulan puasa belum tiba