Menarik, Nasruddin dedah Khairuddin Tak Diarah Kuarantin

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasruddin Hassan berkata, rakannya Menteri Perladangan Perusahaan dan Komuniti, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali tidak pernah menerima arahan untuk menjalani kuarantin.

Dalam satu kenyataan hari ini, Nasruddin berkata, kenyataan itu diberitahu sendiri oleh Mohd Khairuddin ketika dihubungi beliau.

“Ana (Khairuddin) telah jalani swab test dan keputusannya negatif, ana tidak pun diarahkan untuk menjalani kuarantin, apatah lagi dipakaikan gelang pink,” kata Mohd Khairuddin kepada Nasruddin.

Beliau yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia yang baharu bersyukur apabila rakannya itu dilepaskan oleh Pejabat Peguam Negara (AGC), semalam.

“Syukur saya kepada Allah apabila membaca kenyataan media oleh Jabatan Peguam Negara kelmarin yang mengesahkan hasil siasatan polis bahawa tiada kes pelanggaran perintah kuarantin ke atas sahabat saya Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.

“Beberapa bulan yang lalu, sahabat saya itu telah menjadi mangsa belasahan cybertrooper dan musuh politik beliau dengan fitnah kononnya telah “melanggar perintah kuarantin”. Terdapat juga pihak yang mendakwa beliau ingkar arahan dan memotong gelang pink,” katanya lagi.

Semalam, Pejabat Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap Dr. Mohd Khairuddin kerana melanggar kuarantin wajib Covid-19 selepas pulang dari Turki.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan lengkap telah dirujuk polis kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, katanya, Peguam Negara memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) ke atas pemimpin Pas yang mewakili Parlimen Kuala Nerus itu

Berita penuh :https://malaysiagazette.com/2020/10/22/khairuddin-tak-diarahkan-kuarantin-dedah-nasruddin/