“Mereka rampas kuasa, kita pula digelar gila kuasa”

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyindir pihak yang sibuk mempertahankan kedudukan mereka, walhal kuasa persekutuan yang diperolehi mereka adalah hasil rampasan dari Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, dalam usaha Pimpinan Tertinggi PH mengembalikan mandat rakyat, tumpuan kerja mereka seringkali dianggap sebagai satu ‘tumpuan melampau’ dan keterlaluan sehingga memberi tanggapan serong terhadap perjuangan PH.

“Sejujurnya, kita sememang terasa kecewa kerana hilang kerajaan, tetapi tidaklah hanya kerana hilang jawatan Menteri, Timbalan Menteri atau pun Ketua Menteri dan kedudukan EXCO sebegitu sahaja.

“Itu sudah menjadi rempah ratus dan asam garam perjuangan yang terpaksa kita tanggung. Dulu masuk penjara keluar penjara, hari ini dapat kuasa hilang kuasa.

“Namun apa yang lebih mengecewakan dan serius lagi, adalah segala program reform dan penambahbaikan yang telah kita mulakan hampir seluruhnya kini tergendala,” katanya dalam ucapan perasmian sempena Konvensyen AMANAH Nasional Kali ke-5 hari ini.

Dalam pada itu kata Mohamad, PH perlu menzahirkan komitmen untuk mengatasi apa jua pemasalahan tentang kepimpinan dengan berpandukan konsensus secara terbuka di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Menurutnya, ketelusan dan perkongsian itulah yang telah membina tahap kepercayaan yang tinggi dalam kalangan pimpinan tertinggi PH sejak sekian lamanya.

Beliau turut berpandangan, adalah mustahak untuk AMANAH terus berperanan memperkukuhkan Pakatan Harapan

“Bahkan lebih mustahak lagi adalah untuk melebarkan kerjasama PH dengan semua pihak dan parti-parti pembangkang yang lain untuk menjalinkan ‘Satu Grand Reallignment sebelum kita berjaya membentuk sekali lagi satu Grand Coalition,” ujarnya.

Sumber:https://malaysiadateline.com/mereka-rampas-kuasa-kita-pula-digelar-gila-kuasa/