Misi besar kerajaan ingin tatakelola kewangan yang baik

Misi besar kerajaan ingin tatakelola kewangan yang baik. Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan misi besar kerajaan ketika ini adalah memastikan tadbir urus dan tatakelola kewangan negara diurus dengan telus dan terhindar dari segala penyelewengan serta salah guna kuasa.

Perdana Menteri berkata, walaupun ikhtiar itu sering dipandang sinis oleh pihak tertentu khususnya pembangkang, Kementeri Kewangan (MOF) yang diterajuinya harus membuktikannya dengan tindakan yang tegas.

“Saya mahu MOF kembali tugasnya dengan tegas dari segi (tabdir urus) perolehan, pengangihan peruntukan dan sebagainya serta memantau supaya prinsip (pengurusan) kewangan lebih telus.

“Kerana itu saya jadikan ia misi besar dalam memerangi gejala penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. Apa pun yang disebut, tak kira kerajaan dan pihak pembangkang yang cuba memperlekehkan hal ini.

“Saya mahu bagi tahu ini (tadbir urus dan tatakelola yang baik) hal serius dalam negara. Kalau tak betul-betul (ambil tindakan) keras, kita akan gagal,” katanya ditemui media selepas Majlis Perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapan pada majlis itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berharap MOF dapat muncul sebagai kementerian yang gagah dari segi tatakelola, kepintaran dan kesungguhan berkhidmat serta menjadi mercu tanda bukan saja gedungnya, tapi fikrah dan komitmen.

“Selepas 100 hari di sini, saya yakin keupayaan kita (MOF) dalam masa beberapa bulan ini memberikan mesej yang cukup jelas.

“Tekad untuk bangkit menyelamatkan negara kita dan kemudian menjadikannya negara hebat di rantau ini dan Insya-Allah di dunia,” katanya.

Dalam lada itu beliau berkata, pengisian konsep Malaysia Madani yang digagaskannya juga bukan sekadar slogan kosong, sebaliknya memerlukan kesungguhan semua membuat perubahan kepada sikap yang lebih baik.

“Madani tidak akan muncul tegak tanpa perubahan sikap. Mula dari diri, nilai kita.

Sebab itu bila kita sebut dalam konteks negara, pemerkasaan ekonomi, kemiskinan tegar, pemacuan teknologi, itu semua mula dengan kekutaan ekonomi sebagai tunggaknya,” katanya.

BACA JUGA:

Jemaah boleh buat aduan, jika hotel di Makkah, Madinah dibatalkan saat akhir

Perkasa inisiatif digital, MOT lantik lima pakar ICT tanpa gaji

Dewan Rakyat: Isu darurat banjir antara isu dibangkitkan