Muhyiddin dan kerajaan PN tidak lagi mempunyai sokongan majoriti

Sebentar tadi Ahli Parlimen Machang Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan penarikan sokongan daripada kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dengan ini sokongan ke atas kerajaan PN sekarang adalah sebanyak 110 orang ahli Parlimen berbanding yang tidak menyokong juga sebanyak 110 orang, selepas dua orang ahli Parlimen meninggal dunia.
Ini bermakna Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan PN tidak lagi mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.
Sekiranya undi percaya dilakukan di Dewan Rakyat pada hari ini maka Tan Sri Muhyiddin tentunya tidak akan menang dan akan ditolak sebagai Perdana Menteri seperti mana yang terjadi kepada Faizal Azumu di Perak.
Seperti mana juga yang berlaku di Perak, untuk mengelakkan pilihanraya semasa COVID-19 dan pada masa yang sama menstabilkan situasi politik, pilihan yang wajar ialah Tan Sri Muhyiddin perlu meletakkan jawatan dan digantikan dengan Perdana Menteri baru yang dicadang dan diterima oleh majoriti ahli Parlimen.
Lebih cepat politik distabilkan, lebih cepat krisis COVID-19 dan krisis ekonomi di Malaysia dapat ditangani dengan lebih berkesan.
……..
Perdana Menteri yang baru boleh melaksanakan tiga perkara iaitu:
PERTAMA, mempercepatkan penyampaian vaksin kepada rakyat untuk meredakan penularan COVID-19, memandangkan langkah-langkah lain yang sedia ada dilihat tidak lagi mampu untuk mengekang peningkatan kes jangkitan.
Setakat hari ini lebih kurang 50 negara di dunia termasuk Arab Saudi, Amerika Syarikat, UK dan lain-lain telah memulakan program vaksinasi ke atas rakyat mereka dan berpuluh lagi negara akan memulakannya dalam seminggu dua ini.
Di Malaysia, kerajaan memaklumkan yang rakyat Malaysia dijangka hanya akan mendapat vaksin paling cepat pada bulan depan iaitu Februari 2021.
Saya harap tidak akan ada kelewatan.
KEDUA, menetapkan tarikh pembubaran Parlimen sejajar dengan tarikh program vaksinasi selesai atau hampir selesai, dan/atau apabila kes jangkitan COVID dijangka reda dengan vaksinasi, jika tidak pilihanraya boleh ditangguh sehingga 60 hari selepas pembubaran mengikut Perlembagaan.
Ini (menetapkan tarikh pembubaran Parlimen) penting kerana jika ianya tidak dilakukan, Perdana Menteri tidak akan mempunyai insentif atau motivasi untuk menyelesaikan masalah COVID-19 dengan segera memandangkan selagi COVID-19 berleluasa beliau mempunyai alasan untuk tidak membubarkan Parlimen untuk terus memegang kuasa.
KETIGA, memperkukuh SOP pilihanraya walaupun setelah program vaksinasi dimulakan termasuk mempermudahkan dan memperluaskan undian melalui pos kepada pengundi yang mahu berbuat demikian sekiranya pilihanraya diadakan.
Pada pilihanraya Presiden di Amerika Syarikat baru-baru ini, sebanyak 46 peratus atau 73 juta daripada 159 juta orang yang mengundi telah memilih untuk melaksanakan undian melalui pos.
Jika undi pos seramai ini boleh dilakukan di Amerika dengan 159 juta pengundi, tidak mustahil ianya boleh dilakukan di Malaysia dengan 15 juta pengundi.
SPR hanya perlu memastikan undian pos ini telus untuk mengelakkan tuduhan undian palsu (voting fraud) seperti yang dilempar oleh President Trump apabila beliau kalah.
……..
Persoalan siapa Perdana Menteri yang baru saya serah kepada ahli-ahli Parlimen untuk bermesyuarah dan membuat keputusan.
Namun ia tentunya bukan dari parti PPBM kerana parti ini telah ditolak oleh dua blok terbesar dalam Dewan Rakyat iaitu BN dan PH.
Wallahu’alam bi’sawab.
ISHAM JALIL
Sumber:
[/expander_maker]

Baca Artikel Penuh