Muhyiddin dijangka hadir ke SPRM pagi ini

Muhyiddin dijangka hadir ke SPRM pagi ini. Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 11 pagi ini.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri dijadual memberi keterangan tetapi beberapa laporan mengatakan Ahli Parlimen Pagoh itu akan didakwa hari ini.

Semalam, Muhyiddin mengesahkan akan hadir di Ibu Pejabat SPRM pagi ini.

“Bagaimanapun esok Khamis, saya diminta ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 11 pagi,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman mengatakan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM hari ini untuk memberi keterangan.

Khabar angin mengatakan Muhyiddin akan didakwa tersebar sejak beberapa minggu lalu selepas bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke mahkamah pada 21 Februari lalu.

Bendahari Agung BERSATU, Datuk Salleh Bajuri turut ditahan SPRM pada 2 Februari lalu selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh parti kepada pembekal dan vendor parti.

Akhir bulan lalu, SPRM membekukan beberapa akaun milik BERSATU dipercayai ada kaitan dengan siasatan agensi itu terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan, semasa pandemik COVID-19.

Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin mengesahkan beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) sebagai saksi dan bukannya suspek.

Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan bekas Perdana Menteri itu antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.

Pada 20 Februari, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.

Sehari kemudian, Wan Saiful didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.

Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.

Dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama, disusuli pendakwaan kali ketiga pada 28 Februari berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.

Pada 22 Februari juga, seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung program Jana Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.

Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik COVID-19, dan ia kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada tahun 1993.

Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN diterajui Muhyiddin.

BACA JUGA:

Lahir 125 hari lebih awal, kembar paling pramatang di dunia!

Kedai aiskrim di Jerman cari kelainan, tawarkan aiskrim perisa cengkerik

Mat Sabu nasihatkan Abdul Hadi, tukar kerajaan melalui PRU bukan SD