Panas!!! Aliff Syukri tidak gentar disaman Wani

Usahawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman menyahut cabaran pihak adik Wani atau Nurul Airawani Nazira Ibrahim untuk mengemukakan saman terhadapnya jika benar dakwaan bahawa beliau telah menipu remaja berusia 23 tahun itu.

Aliff berkata, tidak pernah walau sekali pihaknya menjanjikan bulan dan bintang termasuklah menawarkan rumah mahu pun kereta kepada Wani.

Menjawab dakwaan janji untuk menjaga kebajikan remaja berkenaan dan keluarganya, beliau menjelaskan bahawa dari awal telah ditetapkan di mana pihaknya hanya akan membantu Wani sehingga dia mampu berjalan.

“Saya berjanji membantu adik Wani dan bukan keluarganya. Saya laburkan kos bayar jurulatih, bagi dia tempat tinggal di resort saya, beratus ribu ringgit berhabis. Saya cuma nak bantu Wani boleh berjalan sahaja.

“Saya kecewa apabila Wani buat laporan polis. Tuntutan yang dibuat mereka juga bernilai ratusan ribu ringgit.

“Tapi saya tak takut dan gentar. Kita boleh lawan di mahkamah. Kalau saya salah, biar hakim putuskan.

“Saya mengalu-alukan saman anda. Kita tengok siapa yang akan disaman,” katanya dalam satu sidang media di kediamannya hari ini.

Terdahulu, Wani yang mengalami masalah berat badan hampir 300 kilogram menuntut pampasan ganti rugi kerana mendakwa tidak mendapat sebarang faedah seperti dijanjikan sebagai duta produk pelangsingan badan.

Bagaimanapun kata pengasas dan pemilik D’herbs Holding Sdn Bhd itu, dalam kontrak yang dipersetujui kedua-dua pihak itu, secara jelas dinyatakan bantuan berupa wang tunai akan diberikan mengikut budi bicara pihaknya.

Beliau juga menegaskan tidak seharusnya Wani memberi alasan tidak memahami kandungan perjanjian yang ditandatangani.

Sementara itu, peguam Aliff memaklumkan pihaknya sudah bersedia dengan beberapa langkah perundangan yang akan dikemukakan.

Sumber:https://malaysiadateline.com/aliff-syukri-tidak-gentar-disaman-wani/