Panas !!! Zahid tak hadir pertemuan bersama PM pagi ini

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan semua presiden parti yang menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Bangunan Perdana Putra, pagi tadi.

Menurut satu sumber Umno, perjumpaan dengan ketua-ketua parti itu diadakan pada pukul 9.30 pagi sebelum mesyuarat kabinet khas yang dijadual 10.30 pagi hari ini.

“Kesemua ketua parti termasuk Sabah dan Sarawak hadir ke pertemuan pagi tadi.

“Cuma Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak hadir,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, sumber itu tidak mengesahkan sekiranya Umno menghantar wakilnya untuk menghadiri pertemuan tersebut.

“Itu saya tidak pasti. Yang saya boleh sahkan Zahid tidak hadir.

“Yang kedua, pertemuan ini untuk presiden-presiden parti politik yang sokong PN,” tambahnya.

Sementara itu, seorang lagi sumber memberitahu yang Zahid menukar keputusan untuk tidak hadir pada saat-saat akhir pada pagi ini.

“Sememangnya beliau dijadualkan hadir pada mesyuarat pada pagi ini, namun beliau menukar fikiran pada saat-saat akhir atas keputusan peribadi,” kata sumber tersebut.

Terdahulu, Muhyiddin tiba di Bangunan Perdana Putra, kira-kira jam 9.20 pagi tadi.

Sementara itu, Bernama melaporkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilihat memasuki bangunan Perdana Putra, pagi tadi.

Menteri kabinet mengadakan pertemuan tidak rasmi di rumah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara malam tadi setelah Yang Di-Pertuan Agong menolak memberi perkenan untuk mengisytiharkan darurat.

Sumber kerajaan mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa semua menteri hadir dalam pertemuan yang diadakan beberapa jam selepas Yang Di-Pertuan Agong secara rasmi menolak permintaan darurat oleh Muhyiddin yang dikemukan pada Jumaat lalu.

Mesyuarat bermula sekitar jam 9 malam dan berakhir sekitar jam 11 malam.

Berita penuh :https://www.malaysiakini.com/news/548101