PAS, UMNO, BERSATU saling memerlukan

Kepemimpinan PAS menyifatkan ia bersama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) saling memerlukan di antara satu sama lain, kerana setiap parti itu, mempunyai kelebihan tersendiri.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, ketika menyifatkan perkara itu berkata, PAS sendiri tidak akan ke mana-mana tanpa kerjasama politik dengan UMNO dan BERSATU.

“Pendirian PAS dalam soal kerjasama politik ini, mesti membabitkan ketiga-tiga parti Melayu iaitu PAS, UMNO dan BERSATU.

“Pada pandangan kita, kalau PAS dengan UMNO atau BEESATU sahaja, ia tidak akan sampai ke mana. Ketiga-tiga parti ini semuanya saling memerlukan antara satu sama lain.

“Kita perlukan gabungan ketiga-tiga parti ini, sebab itu pentingnya Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), ketiga-tiganya ada kekuatan tersendiri,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, dilaporkan memaklumkan, PAS bertegas bahawa UMNO mesti turut menjadi rakan sekutu dengan BERSATU.

Annuar berkata, UMNO kini tidak lagi ada pilihan untuk bertanding dalam PRU akan datang hanya bersama PAS sebagai sekutu, seperti rancangan awalnya dahulu.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, apa yang berlaku itu adalah masalah dalaman UMNO yang perlu diselesaikan.

“Isu ini kalau kita tengok di media, ia membabitkan di kalangan UMNO, kenyataan Annuar juga dijawab oleh pimpinan UMNO yang lain. Jadi bagi saya ini isu dalaman parti itu.

“Jadi kita harap UMNO boleh selesaikan, kami tak boleh nak campur tangan kerana ini masalah dalaman parti,” katanya.

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/757344/pas-umno-bersatu-saling-memerlukan-mohd-amar