Pegawai LHDN ‘fake’ scam frontliner

Tertipu dengan seorang individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), seorang jururawat kerugian RM94,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam Sabtu lalu.

Wanita berusia 31 tahun itu menerima panggilan daripada nombor talian mudah alih yang memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,600 ke atas syarikat yang didaftarkan menggunakan namanya, menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson Aidi Sham Mohamed.

“Wanita itu menafikan perkara itu namun panggilan tersebut disambungkan kepada ‘Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuantan’ untuk tujuan membuat laporan polis secara dalam talian,” Aidi Sham dilaporkan Bernama sebagai berkata.

Pengadu kemudian bercakap dengan individu yang mendakwa dirinya pegawai polis berpangkat ACP, dan diminta memuat naik pautan aplikasi MyBNM, tambahnya.

Kata beliau, pengadu diarahkan oleh individu terbabit untuk memasukkan butiran nama dan nombor kad pengenalan dalam aplikasi tersebut bagi tujuan keselamatan supaya wang simpanan akaun wanita itu tidak ditolak.

Bagaimanapun, selepas membuat semakan dengan pihak bank, pengadu mendapati wang simpanan salah satu akaun miliknya telah dipindahkan kepada beberapa akaun yang tidak dikenali dalam 11 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM94,000.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, iaitu menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/09/diperdaya-pegawai-lhdn-jururawat-rugi-rm94000-jadi-mangsa-macau-scam/