Pelanggan order 720 set lunch, makan malam tapi tak datang ambil, ‘Patutlah rasa macam tak sedap hati’

Pelanggan order 720 set lunch, makan malam tapi tak datang ambil, ‘Patutlah rasa macam tak sedap hati’.

ASAM garam dalam dunia perniagaan, pengalaman ditipu oleh pelanggan sudah pasti pernah dilalui oleh golongan peniaga.

Begitu juga dengan kisah seorang peniaga makanan di Gerik, Perak ini.

Pelanggan order 720 set lunch, makan malam tapi tak datang ambil, 'Patutlah rasa macam tak sedap hati'
Aishah menunjukkan tempahan makanan yang disiapkan untuk individu tersebut.

Siapa sangka, sepanjang hampir sembilan tahun berniaga, inilah kali pertama dia melalui pengalaman sedemikian hanya kerana sifat belas kasihan dan mudah percayakan orang.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)

Berkongsi semula kisah pahit itu, Aishah Nita berkata, dia pada mulanya menerima tempahan daripada seorang individu yang memintanya menyiapkan makanan untuk tiga hari, berjumlah 720 set kesemuanya.

“Saya dihubungi oleh individu berkenaan pada 14 Julai lalu, meminta menyediakan set makanan untuk tiga hari sebanyak 240 set setiap hari.

“Orang tu minta 120 set untuk makan tengah hari, dan 120 set lagi untuk makan malam. Tak tahu kenapa, terdetik dah dalam hati perasaan kurang enak. Suami pun kata mintalah deposit.

Aneka lauk masakan tengah hari yang disajikan di kedai makan milik Aishah.

“Tapi entah kenapa saya tak minta deposit kali ini. Mungkin sebab percayakan kata orang tu yang beritahu tempahan untuk askar.

“Saya kata dekat suami, kita tawakal sajalah. Kalau mereka datang ambil, itu rezeki kita… kalau tak ambil, kita sedekah. Saya tak mahu berburuk sangka,” katanya.

Menurut Aishah, dia dan para pekerjanya bertungkus-lumus menyiapkan tempahan sebanyak 120 set untuk makanan tengah hari pada hari pertama dan menunggu untuk diambil sebagaimana yang dijanjikan.

“Sebelum dia datang ambil tempahan pukul 1 tengah hari, dia ada hubungi minta pihak kami belikan bekas makanan plastik. Dia minta kami hubungi pihak syarikatnya pula untuk itu.

“Saya mohon maaf kepadanya dan beritahu tak dapat nak bantu beli. Tunggu punya tunggu, waktu yang dijanjikan, dia tak datang ambil makanan.

Saya kata dekat suami, kita tawakal sajalah. Kalau mereka datang ambil, itu rezeki kita… kalau tak ambil, kita sedekah. Saya tak mahu berburuk sangka.

“Tengok-tengok nombor kami dah kena sekat. Sebenarnya terkilan sedikit tapi dalam masa yang sama, saya bersyukur sebab tak sempat siapkan yang 120 set lagi untuk makan malam,” katanya sambil menambah, dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM650 disebabkan pelanggan tersebut.

Aishah yang memiliki kedai makan di sebuah medan selera berkata, tempahan yang sudah disiapkan iaitu set nasi putih bersama kari ayam, sayur campur dan sambal belacan akhirnya disedekahkan kepada sekolah pondok berhampiran kedainya.

“Manakala selebihnya suami saya sedekahkan kepada budak-budak yang kebetulan ada perlawanan bola sepak di kampung kami,” katanya lagi.

Kedai makan milik Aishah yang terletak di sebuah medan selera di Gerik, Perak.

Mengakui kejadian tersebut meninggalkan pengajaran buat dirinya, Aishah berkata perkongsian yang dibuat di media sosial bertujuan untuk mengingatkan para peniaga makanan lain supaya lebih berhati-hati.

“Bila baca komen, ada juga peniaga yang alami nasib seperti saya… ditipu pelanggan kerana percaya. Saya ni kadang mudah kasihankan orang.

“Apa yang boleh diambil pengajaran selepas ini, janganlah mudah percaya sesuka hati kepada orang,” akhirinya.

BACA :

Lelaki kongsi taktik baru “scammer” tipu kedai makan, pura-pura jadi pelanggan
‘Budak dulu bangga beli barang mahal dengan harga murah, budak sekarang bangga beli barang murah dengan harga yang mahal’
[VIDEO] Rider terpaksa tahan gelak, jadikan atap zink sebagai ‘loceng’ rumah