Pemimpin Umno Pulau Pinang didakwa ubah wang haram RM11 juta

Seorang pemimpin Umno Pulau Pinang didakwa di Mahkamah Sesyen atas 106 tuduhan pengubahan wang berjumlah lebih RM11 juta dalam bentuk wang tunai, stok dan harta benda sebagai “hadiah” yang diterima daripada pelbagai syarikat.

Ketua Umno Bayan Baru, Mansor Musa didakwa menerima sogokan antara September 2011 dan 10 Ogos tahun lalu. Sumber sogokan itu tidak disebutkan dalam dokumen mahkamah yang ditunjukkan kepada wartawan.

Mansor, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung dari 2004 hingga 2008, didakwa atas 42 tuduhan terlibat dalam pengubahan wang dan 64 tuduhan bersubahat sepanjang tempoh lebih sembilan tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) dan (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Kesalahan di bawah subseksyen (a) membawa denda maksimum RM5 juta dan/atau penjara maksimum lima tahun, sementara subseksyen (b) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda hasil haram atau RM5 juta, mana-mana yang lebih tinggi.

Mansor, yang turut memegang jawatan sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad, mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Faridz Gohim Abdullah, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Muhamad Azlan Basri, manakala Kek Boon Wei dan Helen Ng mewakili Mansor.

Hakim Norhayati Mohamad Yunus menetapkan 28 Sept untuk pengurusan kes sementara menunggu penyerahan dokumen. Beliau juga memerintahkan Mansor menyerahkan pasportnya dan melaporkan diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Sebelum ini dilaporkan bahawa seorang individu bergelar “Datuk” yang mengetuai sebuah koperasi Pulau Pinang menerima sogokan berjumlah RM16 juta daripada seorang pemaju bergelar “Tan Sri” bagi kebenaran untuk membangunkan tanah yang dimiliki koperasi berkenaan.

“Datuk” tersebut juga dijangka didakwa di Kuala Lumpur pada Khamis.