Pemuda ini dedah hidup 3 dekad tanpa bekalan elektrik

Pemuda ini dedah hidup 3 dekad tanpa bekalan elektrik. Episod kehidupan seorang pemuda dari Teluk Kumbar di sini tidak seindah rakan seusianya apabila dia terpaksa hidup berseorangan di rumah pusaka ibunya tanpa bekalan elektrik selama 30 tahun.

Lebih menyedihkan, pemuda dikenali sebagai Muhammad Rizuan Jamel, 32, juga terpaksa mendapatkan bekalan air dari rumah jiran selain perlu hidup bersendirian selepas ibunya berpindah ke Kuala Ketil, Kedah berikutan berkahwin lain beberapa tahun lalu.

Katanya, walaupun sudah terbiasa hidup bergelap dengan hanya ditemani cahaya lilin sejak 30 tahun lalu, namun impian memiliki bekalan elektrik di rumahnya seperti orang lain sentiasa cerah di fikirannya.

“Hasrat mahukan bekalan elektrik di rumah memang sentiasa ada, tetapi saya orang susah dan tidak mampu untuk memasang­nya kerana kos yang begitu tinggi.

“Biasanya saya akan menum­pang di rumah rakan jika mahu mengecas telefon bimbit dan hanya memasang lilin pada waktu malam jika mahu menjamah makanan ataupun membuat kerja rumah,” katanya kepada Kos­mo! di sini baru-baru ini.

Pemuda ini dedah hidup 3 dekad tanpa bekalan elektrik

Katanya, disebabkan me­ngalami masalah tidak mampu membaca dan menulis, dia sukar mendapatkan pekerjaan sesuai dan perlu bekerja sambilan sahaja bagi menyara kehidupan.

“Saya sebenarnya kurang pandai membaca dan menulis, jadi buat masa ini hanya boleh menjadi runner kepada orang kampung jika mereka mahu membeli apa-apa di kedai berdekatan.

“Biasanya, pendapatan sebagai runner tidak tetap dan hanya bergantung kepada permintaan sekali gus sukar mempunyai lebihan wang lebih-lebih lagi bagi membuat pemasangan bekalan elektrik,” jelasnya.

Katanya, sebelum ini, ada juga pihak tertentu datang untuk membuat pemeriksaan bagi memberi bantuan seperti pemasangan bekalan elektrik kepada individu susah.

“Tetapi, hingga kini belum ada sebarang jawapan daripada mereka dan saya masih me­nunggu jika permohonan tersebut telah diluluskan,” jelasnya.

Bagaimapun, disebabkan kelewatan penerimaan bantuan, beberapa rakan Muhammad Rizuan telah mengambil inisiatif sendiri dengan mengumpul wang bagi pemasangan bekalan elektrik baru-baru ini.

“Alhamdulillah, ada rakan-rakan membantu saya memasang bekalan elektrik di rumah dan tidak perlu hidup bergelap lagi. Banyak benda dipermudahkan, saya juga tidak perlu berpanas kerana sudah boleh menggunakan kipas angin,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Muhammad Rizuan ditalian 019-966 5044.

BACA:

Anak meninggal lepas 7 hari dilahirkan, ini luahan hati Mua Bellaz

PA Dato Vida berhenti kerja, bekas PA dedah cerita sebenar..

Dikatakan muka Jep sebiji anak tirinya, ini reaksi Jep..