Pencuri basikal akhirnya ‘terciduk’

Teka teki kehilangan basikal yang sering berlaku di sekitar taman perumahan di bandar raya ini akhirnya terjawab apabila polis menahan seorang lelaki dan merampas sebanyak 11 basikal pelbagai jenama.

Suspek berusia 46 tahun ditahan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di tepi jalan Sembulan jam 5.24 petang, di sini, Selasa lalu.

 

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, penahanan suspek susulan laporan polis dibuat pengadu selepas dua basikal miliknya hilang dipercayai dicuri.

Katanya, hasil soal siasat terhadap suspek mendapati dia melakukan kes ini secara bersendirian.

“Selepas mencuri basikal, suspek akan bawa ke sekitar kawasan Sembulan untuk mencari pembeli dengan memperdayakan pembeli bahawa suspek bekerja sebagai mekanik basikal dan menjual basikal di sekitar Kota Kinabalu atas sebab tidak digunakan lagi.

“Siasatan lanjut mendapati suspek melakukan sembilan kes curi basikal di sekitar kawasan perumahan Luyang yang mana membabitkan 11 buah basikal dilaporkan hilang,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Habibi berkata, jumlah kerugian dalam kes kecurian basikal ini dianggarkan melebihi RM10,000.

Katanya, modus operandi suspek menjual basikal yang dicuri kepada pembeli yang dikenali dan tinggal di penempatan Sembulan.

“Suspek menjual dengan harga RM250 hingga RM500 sebuah tertakluk kepada jenis basikal.

“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif Methamphetamine dan mempunyai 10 rekod kesalahan lampau,” katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Sementara itu, Habibi berkata, usaha untuk membanteras jenayah di sekitar bandar raya ini akan diperhebatkan dan ditingkatkan dengan lebih kerap melakukan operasi dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam.

“Orang ramai dialu-alukan untuk membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kes jenayah agar kegiatan berkenaan dapat dibanteras dengan lebih berkesan,” katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/654408/pencuri-basikal-akhirnya-tersungkur