Pengetua sekolah didakwa mencabul pelajar

Polis menahan pengetua sebuah sekolah menengah di Hulu Terengganu bagi membantu siasatan kes cabul dan gangguan seksual yang dipercayai berlaku dalam tempoh dua bulan bermula Januari lalu.

Suspek berusia 52 tahun ditahan di rumahnya di Kuala Nerus kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Menurut sumber, suspek ditahan susulan laporan polis dibuat empat wanita yang terdiri daripada kakitangan dan pekerja kontrak kebersihan sekolah pada 8 Mac dan semalam.

Katanya, semua mangsa mendakwa suspek menghantar teks berunsur lucah melalui aplikasi WhatsApp selain ada yang dicabul ketika berada di sekolah berkenaan.

“Kejadian dikatakan berlaku daripada awal Januari hingga hujung bulan lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek yang kini direman selama empat hari sehingga 12 Mac depan.

Katanya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) kerana cabul dan Seksyen 509 KK kerana mengaibkan kehormatan.

Berita penuh: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/682471/pengetua-direman-bantu-siasatan-cabul-gangguan-seksual