Pengundi lengkap vaksin sahaja boleh mengundi? Ini penjelasan SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan laporan media yang menyatakan hanya pengundi lengkap divaksin dibenarkan mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini.

Pengerusinya, Abdul Ghani Salleh menegaskan garis panduan pencegahan (SOP) Covid-19 bagi PRN Melaka belum dimuktamadkan.

“SOP ini akan berpandukan pandangan dan nasihat dari Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan polis dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

BACA JUGA : Pas Terengganu bergolak, 3 Exco Terengganu tewas pemilihan PAS

Terdahulu, Bernama melaporkan hanya pengundi yang divaksin sepenuhnya boleh mengundi pada PRN Melaka.

Laporan itu memetik Abdul Ghani sebagai berkata, SPR akan memberikan cadangan masa keluar mengundi melalui sistem seperti aplikasi MySejahtera.

“Pengundi juga usah keluar mengundi serentak pada sebelah pagi. Kalau boleh, warga emas sebelah pagi dan tengah hari sikit untuk orang muda.

BACA JUGA : Ustaz Dusuki kalah pemilihan, gagal jadi YDP Pas Shah Alam

“SOP kita di pusat mengundi juga ketat. Syarat-syarat seperti dah lengkap dua dos vaksin, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal. Justeru kita merayu agar semua pengundi lengkapkan vaksin dahulu…kita ada masa lagi,” katanya dipetik Bernama.