Penjenayah ditembak mati rupanya ada 64 rekod lampau

Penjenayah ditembak mati rupanya ada 64 rekod lampau. Seorang daripada dua penjenayah yang ditembak mati ketika berbalas tembakan dengan polis di Jalan Jeniang, Gurun, malam kelmarin, mempunyai 64 rekod jenayah lampau termasuk 16 dikehendaki bersangkut kes samun berkumpulan dan bersenjata.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, hasil semakan rekod mendapati suspek pertama berusia 60-an itu didapati baru keluar dari tahanan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) lebih setahun lalu manakala suspek kedua pula berusia 40-an.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada jam 11 malam itu ketika sepasukan dari Bahagian Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah membuat rondaan kes samun di sekitar kawasan Sungai Petani dan Jeniang, Sik.

Beliau berkata, ketika pemantauan dilakukan, pasukan polis terserempak dengan Proton Iswara kelabu gelap yang mencurigakan di lokasi berkenaan.”Pemandu kereta terbabit enggan berhenti ketika diarahkan polis menyebabkan pasukan bertindak memintas kenderaan untuk diberhentikan.

“Ketika pemeriksaan hendak dilakukan, terdengar bunyi tembakan dan percikan api dari arah pemandu dan penumpang hadapan kereta menyebabkan berlaku berbalas tembakan oleh polis untuk mempertahankan diri.

Penjenayah ditembak mati rupanya ada 64 rekod lampau

“Pemeriksaan lanjut selepas itu mendapati seorang daripada anggota polis terjatuh yang dipercayai terkena tembakan yang mengenai baju kalis peluru yang dipakainya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Wan Hassan berkata, hasil pemeriksaan terhadap pemandu dan penumpang mendapati mereka rebah dan sudah meninggal dunia.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui dua pucuk pistol jenis revolver .38, sebilah parang, sebilah pedang, satu kuku kambing, playar, pemutar skru, tiga penutup muka, sepasang sarung tangan, dua beg galas serta sepasang jaket.

“Kesemua barangan yang dirampas itu dipercayai digunakan untuk samun dan pecah rumah.

“Operasi khas yang kita laksanakan ini susulan terdapat kes samun terutama di kawasan Sungai Petani dan Kulim yang menyasarkan pesara dan warga emas yang mana rumah mereka dipecah masuk dan disamun menggunakan parang.

“Susulan itu, kita buat operasi ini dengan pasukan daerah namun pada malam kejadian, anggota kita terserempak dengan penjenayah terbabit,” katanya.

Wan Hassan berkata, suspek pertama berusia 60-an itu mempunyai 64 rekod jenayah termasuk 17 kes samun, dua kes dadah, 20 kes jenayah harta benda, tiga rekod kes Akta Bahan Kakisan/Senjata Terlarang, empat rekod kes Akta Pencegahan Jenayah dan dua kes lain.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh), Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh 14 tahun dan boleh dikenakan denda serta sebatan.

“Kita masih siasat berkemungkinan suspek yang meninggal dunia ini terbabit dengan kes di negeri lain dan yang dikenal pasti mungkin di Pulau Pinang serta Perlis.

“Setakat ini kita berjaya menyelesaikan lebih 16 hingga 20 kes samun dan kita percaya mereka bukan bergerak berdua saja namun yakin ada lagi saki-baki kumpulan ini kerana ada tempat tertentu mungkin mereka bergerak bertiga, berempat atau berlima dan akan buat tindakan susulan,” katanya.