Pensyarah ditahan lepas tembakan di bendang

Seorang pensyarah kanan di sebuah institusi pengajian tinggi awam ditahan polis kerana melepaskan tembakan di kawasan bendang dekat Kampung Tasek Berangan, berhampiran Repek di Pasir Mas petang semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-8 Pasukan Gerakan Am (PGA8), Muhammad Shamsuddin mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira 3 petang ketika sepasukan anggota PGA8 melakukan rondaan bermotosikal.

Ketika rondaan itu, beliau berkata, anggotanya ternampak sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dalam keadaan mencurigakan di kawasan bendang sawah padi.

“Pasukan rondaan melihat seorang lelaki turun dari kenderaan dengan menggalas senapang dan terus melepaskan tembakan ke arah sawah padi.

“Sebaik melihat keadaan itu, anggota terus menghampiri suspek sambil memperkenalkan diri sebagai anggota PGA8 sebelum merampas senapang yang ada bersama lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad berkata, hasil pemeriksaan mendapati senapang itu ialah jenis “pump gun” bertulis “Escort” buatan Turki dan 2 butir peluru hidup ditemui dalam senapang itu.

Katanya, antara barang yang dirampas ialah 9 peluru hidup jenis SG 12 Bore, 5 peluru Pellets, 158 “ball bearing” dan sebuah Mitsubishi Pajero.

Lelaki berusia 40 tahun itu dan semua barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

“Dalam kes ini, senapang tersebut dipercayai diseludup melalui pangkalan haram dan suspek juga tidak mempunyai lesen dan permit ke atas senapang tersebut.”

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (AKTA 206) dan sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara 7 tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

“Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang 6 kali sebatan.

“Kes itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama 2 tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya

Sumber:https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/22/pensyarah-ditahan-lepas-tembakan-di-bendang/