Perlu mengambil peduli kesihatan fizikal dan mental petugas barisan hadapan

Pandemik COVID-19 ancaman terbesar manusia dengan kadar mortaliti tinggi. Kini, masalah COVID-19 begitu kritikal sehingga Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pengisytiharan darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak itu di Malaysia.

Baginda juga berkenan dengan pembentukan Jawatankuasa Bebas dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkaitan. Ia menunjukkan kerajaan amat berhasrat supaya pelaksanaan darurat dilihat secara telus.

Petugas barisan hadapan paling banyak berurusan dengan orang ramai semasa pandemik dan ternyata COVID-19 memberi kesan kepada masalah kesihatan mental seperti stres, selain kebimbangan dan kemurungan.

Konsultan Kajian dan Strategi, Greenberg (2020) melaporkan antara faktor penyumbang tahap stres tinggi dalam kalangan petugas barisan hadapan ialah kekurangan kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE), pendedahan kepada pesakit dijangkiti dan bebanan tugasan berlebihan.
Lai et al (2019) pula melaporkan faktor kekurangan sokongan dan ketakutan berhadapan kematian dan morbiditi adalah penyumbang masalah kesihatan mental petugas barisan hadapan.

Status kelompok ini yang turut terbabit secara langsung dengan diagnosis, rawatan dan penjagaan pesakit juga menjadi faktor penyumbang masalah psikologikal mereka.

Justeru, melindungi pekerja petugas barisan hadapan dengan menyediakan sokongan sosial, emosi dan keagamaan satu keutamaan di mana ia boleh meningkatkan kualiti kehidupan mereka. Mereka perlu mendapat pembelaan dari sudut penjagaan keselamatan diri.

BH pada 27 Oktober 2020 melaporkan lebih 10,000 pegawai dan anggota polis dikuarantin, manakala sekurang-kurang 200 lagi sedang dirawat selepas disahkan positif COVID-19. Pasukan polis adalah petugas barisan hadapan berpotensi besar terdedah wabak itu kerana berada paling hampir dengan rakyat yang belum dipastikan tahap jangkitan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam laporan sama menjelaskan kadar tinggi jangkitan dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantutkan keupayaan dan kekuatan pasukan dalam penugasan menjaga keselamatan serta keamanan negara.

Dalam memastikan kebajikan petugas barisan hadapan terjaga, di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pemberian sekali gus RM500 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan RM300 kepada petugas barisan hadapan lain yang mula dibayar pada suku tahun pertama tahun ini.

Ia membuktikan kerajaan amat prihatin dalam menghargai peranan mereka yang bertungkus-lumus berusaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga diberikan peruntukan RM800 juta bagi keperluan petugas barisan hadapan membabitkan perolehan PPE, reagen, kit saringan, pensanitasi tangan dan bahan guna habis. Seramai 3,500 kakitangan bertaraf kontrak pula diambil pada hujung Januari 2021 membabitkan jururawat, paramedik dan sebagainya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pakej itu membolehkan KKM mempunyai sumber mencukupi untuk memastikan sistem kesihatan awam terus berkhidmat kepada rakyat bagi memerangi pandemik.

Kerajaan negeri juga melaksanakan banyak program dalam membantu meringankan bebanan petugas barisan hadapan. Antaranya ‘Pakej Kita Selangor’ memperuntukkan RM3 juta untuk meneruskan pemberian bantuan makanan tengah hari dan malam kepada 13,322 petugas barisan hadapan merangkumi kakitangan kesihatan, polis dan tentera.

Kerajaan Selangor juga melaksanakan Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan iaitu pengoperasian TASKA dan pusat jagaan sementara di hospital awam serta premis sementara percuma untuk anak-anak barisan hadapan.

Jelas , kesihatan fizikal dan mental petugas barisan hadapan perlu diberi perhatian. Banyak kemudahan disediakan kerajaan untuk mereka selari pengorbanan besar dicurahkan ketika COVID-19. Mereka juga perlu memastikan kesihatan emosi dipelihara dengan mendapat sokongan sosial di samping menerima perkhidmatan kesihatan mental sewajarnya.

Penulis adalah Pensyarah Program Kaunseling, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita penuh: https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/01/780318/ambil-peduli-kesihatan-fizikal-mental-petugas-barisan-hadapan