Permohonan Rosmah tangguh bicara rasuah projek solar ditolak lagi

Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah Mansor untuk menangguhkan perbicaraan rasuah terhadapnya berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Ini bererti isteri bekas Perdana Menteri itu perlu memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, esok.

Panel tiga hakim diketuai Kamaludin Md Said berkata, tiada keadaan luar biasa atau khas yang membolehkan perbicaraan itu ditangguhkan.

BACA JUGA : Kebenaran untuk rentas negeri semakin hampir – PM

“Mahkamah Persekutuan (sebelum ini) memutuskan ia bukan keadaan khas sekalipun prosiding berkemungkinan terbatal,” kata Kamaludin yang turut menambah mahkamah itu terikat dengan keputusan mahkamah tertinggi itu.

Kamaludin yang bersidang bersama Nordin Hassan dan Hashim Hamzah berkata, perbicaraan tetap boleh diteruskan sekalipun ada rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi oleh Rosmah.

“Ia tidak memprejudis pemohon (Rosmah). Bagaimanapun, tarikh rayuan perlu dipercepatkan,” katanya.

BACA JUGA : “Boleh beli tanah, kahwin 2 kali!” – Netizen dedah yuran sekolah anak pertama Nora Danish

Pada 24 September, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan memutuskan pelantikan Gopal Sri Ram bawah Kanun Prosedur Jenayah oleh Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas, pada Ogos 2018 adalah sah.

Beliau turut menerima hujah alternatif oleh pendakwaan bahawa surat pelantikan daripada Peguam Negara kini, Idrus Harun berhubung pelantikan Sri Ram itu yang dikeluarkan pada 21 Mei, akan memperbaiki sebarang kecacatan.

Pada Mei, Rosmah memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan pelantikan Sri Ram sebagai tidak sah, dan membatalkan prosiding terhadapnya.

BACA JUGA : Exco kerajaan negeri Melaka mula kemas barang masuk kotak

Terdahulu hari ini, peguam Rosmah, Jagjit Singh berhujah perbicaraan itu terbatal seterusnya sebarang prosiding mesti dihentikan sehingga Mahkamah Rayuan membuat penentuan.

“Masalah yang kami lihat adalah Sri Ram tidak mendapat kebenaran sewajarnya daripada Peguam Negara untuk melakukan perbicaraan ini,” katanya.

Sri Ram, yang hadir bagi pihak pendakwaan berkata, Rosmah boleh membangkitkan isu pembatalan itu sebagai alasan rayuan, sekiranya didapati bersalah atas tuduhan rasuah terhadapnya kelak.

BACA JUGA : ‘Sedap’ cuti panjang, 800 pelajar sekolah menengah tak nak pergi sekolah sebab dah kahwin

Rosmah didakwa meminta RM187.5 juta daripada kontraktor Saidi Abang Samsudin dalam projek panel solar untuk sekolah di Sarawak, selain menerima wang tunai RM6.5 juta daripadanya.

Wang itu didakwa bagi membantu syarikat Saidi, Jepak Holdings Sdn Bhd, mendapat projek bernilai RM1.25 bilion berkenaan.