PMX temui Erdogan, zahirkan ucapan takziah terhadap Turkey

PMX temui Erdogan, zahirkan ucapan takziah terhadap Turkey.

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Ankara seusai meninjau lokasi runtuhan gempa bumi di Gaziantep, bandar selatan negara itu yang terjejas teruk.

Menerusi Facebooknya, Perdana Menteri berkata pertemuan itu bagi menzahirkan solidariti Malaysia sebagai negara sahabat ketika mereka berdepan saat getir dan sukar.

Katanya, pertemuan itu juga komitmen yang tidak berbelah bahagi Malaysia terutamanya dalam membantu warga Turkiye yang terkesan dari malapetaka gempa.

“Saya turut menyampaikan ucapan takziah dari rakyat Malaysia serta memaklumkan mengenai bentuk bantuan yang telah diusahakan oleh pihak Kerajaan Malaysia.

“Bersama kita mendoakan agar peristiwa duka ini cepat berlalu dan Turkiye kembali pulih,” katanya yang tiba di negara itu pagi tadi waktu tempatan dan dijadual pulang ke tanah air sebaik selesai bertemu Edrogan.

Kunjungan singkat Perdana Menteri itu turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali; Duta Malaysia Ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira 40 minit untuk melawat dan mendengar taklimat operasi pasukan SAR negara yang sudah berkampung di sana bagi menyertai misi menyelamat pelbagai negara sejak minggu lalu.

Beliau tiba di Nurdagi, Gaziantep pada jam 9 pagi waktu tempatan (jam 2 petang waktu Malaysia).

BACA JUGA:

Susulan masalah IDME, guru kini boleh pilih guna manual atau hybrid

JPJ tambah baik ciri keselamatan Aplikasi MyJPJP, portal awam JPJ

DJ KJ gamatkan hari pertama di HotFM, membawa slogan ‘Menang Selfie, Kalah Undi’