PN nyatakan hasrat sedia kerjasama BN. Perikatan Nasional (PN) berpendirian terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan parti politik pada masa depan, termasuk Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagaimanapun enggan merujuk cadangan kerjasama itu sebagai Muafakat Nasional (MN) dan menegaskan ia hanya boleh direalisasikan jika semua pemimpin bersetuju dengan satu matlamat yang sama.
“Kerjasama ini perlu menjadi satu dasar yang dipersetujui semua pemimpin parti, BERSATU, PAS dan UMNO. Jika semua percaya dengan satu matlamat yang sama, maka tiada masalah untuk mewujudkan kerjasama ini.
“Jika ada satu pihak kata ‘tidak’, maka ia tak akan berlaku. Namun jika kita percaya antara satu sama lain, kita boleh mencapai matlamat kita,” katanya memaklumkan asas kerjasama itu kekal untuk kepentingan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Menjelaskan demikian pada siri perbincangan anjuran Kelab Concorde yang pertama tahun ini, di sini hari ini, beliau juga ditanya mengenai kemungkinan PN boleh kembali berkuasa menerusi kerjasama baharu dan menjawab: “Pintu sentiasa terbuka.”
Ditanya mengenai masa depan UMNO yang pernah dianggotainya sebelum keluar parti itu pada Disember 2018, Hamzah yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilihat keberatan untuk mengulas mengenainya.
Selepas diasak dengan soalan serupa, beliau memaklumkan, UMNO memerlukan pembaharuan besar-besaran atau berisiko ditolak sepenuhnya oleh rakyat.
“UMNO perlukan kerjasama baharu untuk parti itu membuat pembaharuan,” katanya yang juga Setiausaha Agung BERSATU.
Berhubung pilihan raya negeri (PRN) yang perlu dilaksanakan menjelang pertengahan tahun ini, beliau yakin PN mampu merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH), selain peluang 50-50 untuk merampas Negeri Sembilan.
Selain itu, Hamzah menjangka PN mampu mengekalkan penguasaan di Kedah, Kelantan dan Terengganu berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun mengakui sukar membuat kejutan di Pulau Pinang dengan kekuatan DAP di negeri itu.
Selain BERSATU, PN juga dianggotai PAS, GERAKAN, Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) ketika menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU), 19 November lalu.
Bagaimanapun pada 5 Disember lalu, Presiden STAR, Datuk Seri Jeffrey Kitingan mengesahkan partinya bukan lagi komponen PN kerana sudah tidak lagi sehaluan selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengisytiharkan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
BACA:
Berbaloikah harga RM35k Umrah With Hajah Neelofa?
Kes letupan, polis tahan pasangan suami isteri di Kedah
Pasangan tak sangka individu yang diminta bantu ambil gambar rupanya Remy Ishak