Politik Sabah : Bung Moktar terkeluar, Adun PH masuk kerajaan

Politik Sabah : Bung Moktar terkeluar, Adun PH masuk kerajaan. Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Kabinet Sabah yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Selain dua wakil rakyat PH iaitu Christina Liew (PKR) dan Phoong Jin Zhe (DAP), turut dilantik sebagai anggota Kabinet baharu ialah wakil rakyat BN, James Ratib.

Christina Liew yang juga ADUN Api-Api merangkap Pengerusi PH Sabah memegang portfolio Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah manakala Jin Zhe yang juga ADUN Luyang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian.

Christina Liew pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri dan memegang portfolio sama ketika pentadbiran kerajaan Parti Warisan (WARISAN) dari 2018 hingga 2020.

Kabinet Sabah yang baharu mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini bermula kira-kira jam 10 pagi tadi.

Bung Moktar disingkirkan sebagai Timbalan Ketua Menteri, Menteri Kerja Raya

Politik Sabah : Bung Moktar terkeluar, Adun PH masuk kerajaan

Upacara pelantikan Kabinet baharu Sabah hari ini turut menyaksikan pelantikan ADUN Tanjung Keramat dari UMNO, Datuk Ir Shahelmey Yahya sebagai Timbalan Ketua Menteri III (TKM) Sabah dan Menteri Kerja Raya Sabah yang baharu.

Beliau yang sebelum ini adalah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat menggantikan ADUN Lamag yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Turut diumumkan Hajiji ialah pelantikan Presiden STAR Jeffrey Kitingan sebagai Timbalan Ketua Menteri I menggantikan Pengerusi BN Sabah Bung Moktar.

Sementara itu, Hajiji dalam kenyataan berkata, rombakan Kabinet adalah sesuatu yang perlu bagi mengukuhkan kerajaan negeri sekarang. Untuk itu, negeri memerlukan satu pasukan yang kuat.

“Menyedari keperluan untuk membentuk satu pentadbiran inklusif, saya telah memasukkan ADUN dari Pakatan Harapan (PH) ke dalam Kabinet selain wakil dari UMNO/BN dan GRS.

“Adalah penting bagi kerajaan negeri di bawah pimpinan saya dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu padu, dengan berkongsi aspirasi sama yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri berazam untuk mempunyai pemimpin yang punya iltizam yang sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan lancar tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan oleh rakyat.

Kestabilan politik adalah penting untuk mencapai matlamat ini, katanya.

“Bersama satu pasukan yang kukuh, kami akan memastikan pelaburan dinamik kerajaan negeri dapat dikekalkan, seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur di samping dapat menarik lebih ramai lagi untuk datang melabur ke Sabah.

“Kita perlu memastikan momentum pembangunan kita terus maju ke hadapan dan seterusnya dapat memenuhi janji-janji pilihan raya kita kepada rakyat dan negeri,” katanya.

Hajiji rombak 8 daripada 11 portfolio Kabinet Sabah

Rombakan Kabinet Sabah yang diumumkan Hajiji hari ini menyaksikan perubahan dalam lapan daripada 11 portfolio menteri.

Seperti dijangka, tiga menteri dari UMNO/Barisan Nasional (BN) iaitu Bung Moktar; ADUN Krambunai, Datuk Yakub Khan dan ADUN Sukau, Datuk Jafry Arifin digugurkan.

Ia berikutan tindakan BN Sabah diketuai Bung Moktar menarik sokongan kepada kerajaan negeri dan Ketua Menteri sehingga mencetuskan kemelut politik minggu lalu.

Sebagai ganti, Hajiji menamakan Shahelmey sebagai TKM III yang baharu selain turut memegang portfolio Menteri Kerja Raya, jawatan sama dipegang Bung Moktar sebelum ini.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan adalah antara lima ADUN UMNO yang tidak mengikut jejak Bung Moktar dan 12 ADUN UMNO lain menarik sokongan kepada Hajiji.

Seorang lagi yang bersama kumpulan Shahelmey ialah Datuk James Ratib, dinaikkan pangkat daripada pembantu menteri ke portfolio Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang sebelum ini disandang Shahelmey.

Hajiji lepaskan jawatan Menteri Kewangan negeri

Dalam pada itu, Hajiji yang sebelum ini turut memegang portfolio Menteri Kewangan melepaskan jawatan itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada ADUN Karanaan, Datuk Masidi Manjun.

Masidi sebelum ini adalah Menteri Kewangan II dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Selain itu, beberapa lagi menteri sedia ada dalam Kabinet Sabah bertukar portfolio dalam rombakan yang dibuat kali ini.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang juga ADUN Kundasang sebelum ini adalah Menteri Pembangunan Perindustrian, dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

ADUN Membakut, Datuk Mohd Arifin Arif yang sebelum ini Menteri Tugas-Tugas Khas pula dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Hanya Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin serta Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim kekal dengan portfolio masing-masing.

BACA:

Siput babi ni boleh makan ke? Dr Zulkifli jawab video tular Pak Arab

Norjuma gelar dirinya Che Puan Sultan Brunei?