Rakyat susah nak cari makan

Sekatan pergerakan yang dikenakan kepada penduduk Kedah ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama dua minggu sehingga 6 Disember depan diharap dapat dilonggarkan bagi memberi peluang kepada mereka mencari rezeki di daerah lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri sepatutnya mendengar rintihan mereka ketika ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara daerah sangat menjejaskan pendapatan mereka.

“Seboleh-bolehnya, biarlah sekatan pergerakan mengikut negeri dilonggarkan bagi membolehkan penduduk Kedah di dalam negeri kita ini.

“Lima bandar utama yang diisytiharkan sebagai kawasan bebas berniaga tidak akan berjaya sepenuhnya jika penduduk tidak dibenarkan bergerak merentasi daerah,” katanya ketika perbahasan Bajet Kedah 2021 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Mukhriz turut mencadangkan sekatan pergerakan hanya di kawasan wujud kluster jangkitan.

“Janganlah kerana lapan kes positif koronavirus (Covid-19), satu negeri ini disekat pergerakannya.Yang terkini, selama sebulan. Cuba bayangkan betapa susah rakyat nak cari makan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri diharap dapat berunding dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk mencapai persetujuan bagi mengimbangi antara menyekat penularan Covid-19 dan memulihkan ekonomi rakyat.

Mukhriz juga berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan untuk membenarkan Pulau Langkawi dibuka kepada pelancong antarabangsa bagi membantu sektor pelancongan yang terjejas teruk sekaligus menjana hasil untuk negeri.

“Jika Singapura boleh membuka sempadannya kepada pelancong dan pelawat perniagaan dari China, Hong Kong, Australia dan sebagainya, kenapa tidak Pulau Langkawi,” katanya.

Beliau turut memuji jasa penjawat awam dan anggota pentadbiran negeri dan mereka dinaikkan gaji, akan diberikan Bantuan Khas selain bantuan khas.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/110436/EDISI/Utara/Longgarkan-sekatan-pergerakan-dalam-negeri-Mukhriz