Rayuan kes Rosmah disambung 20 Januari 2021

Rayuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan surat pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam perbicaraan kes rasuahnya, ditetapkan untuk pengurusan kes pada 20 Januari tahun depan.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah mengesahkan tarikh pengurusan kes selanjutnya untuk rayuan itu selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Darmafikri Abu Adam, di sini, semalam.

Pada 19 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan memutuskan bahawa Rosmah, isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak memberikan sebarang justifikasi untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram.

Rosmah, 68, memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam perbicaraan kes rasuahnya berkaitan pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin berkaitan projek tenaga solar.

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor, sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Suria Fotovolta (PV) Hibrid serta penyelenggaraan dan operasi genset/diesel, untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion dari Kementerian Pendidikan, secara rundingan terus.

Rosmah didakwa melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini, kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Jan 2016 hingga September 2017.

Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Dis untuk menyambung semula perbicaraan kes itu.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/645082/rayuan-kes-rosmah-disambung-20-januari-2021