Remaja dirogol kononnya diganggu hantu tempayan

Seorang bomoh ditahan polis kerana disyaki merogol remaja perempuan berusia 15 tahun semasa upacara berubat dijalankan di sebatang anak sungai di Batang Baleh, di sini, jam 6 petang, Khamis lalu.
Ibu mangsa berusia 40-an membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit, jam 1.30 tengah hari Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Freddy Bian berkata, bertindak atas laporan itu pihaknya menahan suspek berusia 34 tahun berasal dari Balingian semalam.
“Ibunya membawa anak perempuannya berjumpa dengan bomoh terbabit untuk berubat kerana disangka diganggu oleh hantu tempayan.
“Mereka bersama anaknya serta dua kawannya dibawa ke tempat kejadian dengan menggunakan perahu oleh bomoh itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, sampai di lokasi bomoh mengadakan upacara miring dan bebiau di tepi sungai itu.
“Selepas selesai upacara miring dan bebiau, bomoh membawa anaknya ke tempat yang tidak boleh dilihat oleh mereka iaitu di sebelah hulu sungai bagi tujuan mengeluarkan hantu dari badan anaknya.
“Semasa upacara membuang hantu itu, anaknya dirogol oleh bomoh. Bomoh menyatakan kepada anaknya supaya tidak menceritakan perkara itu kerana nanti penyakitnya tidak akan sembuh,” katanya.
Beliau berkata, pada Jumaat lalu, jam 2 pagi semasa sampai di rumah, anaknya menceritakan kejadian itu kepada emaknya.
“Suspek direman selama tujuh hari mulai semalam hingga 2 Januari depan untuk membantu siasatan.
“Mangsa dibawa ke hospital Sibu untuk pemeriksaan pakar,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – Hmetro

Baca Artikel Penuh