Rumah tak siap-siap, pembeli pun ramai dah arwah

Rumah tak siap-siap, pembeli pun ramai dah arwah. Seramai 510 pembeli merayu kerajaan negeri membela nasib mereka selepas hampir 20 tahun menunggu untuk menduduki Flat Taman Mount Austin, di sini yang masih terbengkalai.

Daripada 10 blok kediaman jenis kos sederhana rendah membabitkan 911 unit rumah yang dijanji akan dibina, hanya empat blok siap dan diduduki penduduk.

Lebih malang buat pembeli di Blok 3, 5 dan 7 yang melibatkan seramai 292 pembeli setelah pihak pemaju swasta enggan meneruskan pembinaan penempatan itu.

Seorang pembeli di Blok 3, Lihayati Abdul Rahman, 48, berkata, dia bersama suaminya, Azmi Othman, 50, membeli flat itu pada 2002 pada harga RM50,000 yang sepatutnya siap pada tahun berikutnya, tetapi terus terbengkalai.

Kali terakhir berhubung dengan pemaju sebelum pandemik Covid-19 melanda, mereka dimaklumkan bahawa pembinaan bagi tiga blok itu tidak diteruskan dengan alasan tiada pembeli.

Rumah tak siap-siap, pembeli pun ramai dah arwah

“Bagi saya, alasan ini sangat mengarut sedangkan kami sudah banyak mendesak mereka siapkan. Dalam tempoh hampir 20 tahun itu, ramai pembeli yang kecewa sehingga berpindah ke tempat lain, ada juga yang meninggal dunia menunggu rumah disiapkan,” katanya semalam yang memberitahu sempat membatalkan pinjaman bank.

Namun, suri rumah itu tetap mahu menuntut rumah tersebut setelah mendapat surat tawaran memilikinya dan sudah menjelaskan bayaran deposit sebanyak RM4,500.

Menurutnya, pemaju pernah menawarkan untuk membeli unit di blok lain namun dia menolak tawaran itu kerana pernah berlaku isu pertindihan nama pemilik.

Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Taman Mount Austin, Suhaini Mat Isa, 45, pula berkata, bukan sahaja enam blok tersebut yang terbengkalai, malah empat blok yang diduduki penduduk turut mengalami pelbagai masalah, antaranya kebocoran, tidak diselenggara serta berlaku pemotongan bekalan air dan elektrik.

“Masalah kebocoran ini berlaku pada tahun pertama kami tinggal di sini. Walaupun aduan sudah dibuat, tiada tindakan susulan diambil.

“Penduduk juga berdepan dengan pemotongan bekalan air dan elektrik akibat tunggakan yang dibuat oleh pemaju hampir RM100,000. Kami tidak faham bagaimana ini berlaku sedangkan setiap unit di rumah di sini membuat bayaran setiap bulan,” katanya sambil memberitahu atas budi bicara, pihak terlibat dan Tenaga Nasional Berhad menyambung semula bekalan ke rumah penduduk.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz berkata, pihaknya akan membantu penduduk di kawasan itu bagi mencari titik penyelesaian dengan pihak pemaju.

Justeru, beliau menggesa kerajaan negeri menjadi perantara antara penduduk serta syarikat pemaju bagi membela nasib pembeli yang terkesan.

BACA:

Susulan pendedahan, bapa pelakon remaja ditahan polis

Najib didakwa tinggal dalam rumah, ini jawapan Jabatan Penjara

Mahu kerjasama Umno, Muhyiddin tuntut penjelasan Pas