Sayu hati!!! Tidak pernah lihat bapa

Hajat berjumpa dengan bapa kandung tidak pernah padam walaupun tidak pernah mengenalinya.

Noor Yusriena Mahmud, 22, berkata, dia tidak pernah berjumpa bapanya sejak bayi.

Dia berkata, bapanya meninggalkan keluarga pada usianya enam bulan.

“Kakak dan abang sempat melihat ayah tetapi saya tidak. Masa di sekolah rendah dulu tengok kawan yang lain dijemput oleh ayah mereka tetapi saya, arwah datuk yang jemput.

“Sekarang perasaan ketiadaannya itu sudah biasa, tetapi kadang-kadang saya masih tertanya-tanya bagaimana rupa ayah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, ibu, Noorma Mamat, 56, tidak banyak bercakap soal bapanya dan hanya mengetahui daripada arwah datuk serta nenek.

“Arwah datuk dan nenek yang menjaga saya sejak kecil kerana ibu sibuk mencari rezeki untuk kami tiga beradik.

“Ibu yang menjadi tulang belakang kami sejak pemergiannya. Arwah nenek juga ada beritahu yang mukanya seiras dengan saya,” katanya.

Noor Yusriena berkata, bagi meringankan beban ibunya, dia pernah bekerja sebagai jurujual tudung di pasar malam ketika melanjutkan pelajaran di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang Teknologi Komputer dan Rangkaian.

Menurutnya, dulu kehidupan keluarganya agak sukar memandangkan ibunya hanya bekerja sebagai tukang jahit di sekitar Kemaman.

“Dulu, semua harus berjimat cermat kerana ibu seorang saja yang mencari rezeki.

“Kini, ibu sudah mempunyai kedai sendiri di kampung dan kami juga sudah berhijrah ke Lembah Klang kerana urusan kerja masing-masing,” katanya.

Menurutnya, bapanya bernama Mahmud Mahat dan berasal dari Kelantan.

Katanya, keluarga tidak menyimpan sebarang gambar bapanya itu.

Sumber:HM