Sejuk yang melampau di Turkiye tidak menghalang ATM untuk dirikan hospital medan

Sejuk yang melampau di Turkiye tidak menghalang ATM untuk dirikan hospital medan.

Keadaan cuaca sejuk melampau tidak menghalang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendirikan Hospital Medan Malaysia (HMM) bagi membantu penduduk Turkiye yang terkesan akibat gempa.

Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dalam kenyataan, berkata kerja mendirikan HMM itu dimulakan sebaik pasukan misi bantuan perubatan ATM tiba di Celikhan, Adiyaman, Ahad lalu.

“Meskipun berhadapan cuaca sejuk yang melampau sehingga mencecah paras negatif 10 darjah celsius, namun pasukan ATM terus gigih meneruskan kerja-kerja mendirikan HMM sejak tiba di Celikhan pada hari Ahad 12 Februari lalu.

“Ia bagi meneruskan misi memberi bantuan perubatan dan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye,” katanya.

Terdahulu, ATM menerusi Operasi Starlight II (Op Starlight II) menghantar 106 pegawai dan anggota untuk melaksanakan misi bantuan kemanusiaan selama enam minggu namun akan dilanjutkan sekiranya perlu.

Misi diketuai Pemerintah Op Starlight II, Brigedier Jeneral Datul Dr Amran Amir Hamzah dan HMM akan didirikan ditempatkan di Celikhan, Adiyaman yang terletak 152 kilometer dari Gaziantep, iaitu kawasan paling terjejas.

Pasukan yang menyertai Op Starlight II digerakkan dalam tiga fasa dengan kumpulan pertama membabitkan 36 pegawai dan anggota diatur gerak dengan dua buah pesawat A400M TUDM dari Pangkalan Udara Subang pada jam 2 pagi, Jumaat lalu.

Kumpulan kedua pula digerakkan pada jam 11 malam pada hari sama, membabitkan 34 anggota, manakala kumpulan ketiga bersama 41 anggota digerakkan pada jam 11 malam, Sabtu lalu.

HMM dijangka siap didirikan pada hari ini sebelum dapat memulakan khidmat operasi peringkat pertama untuk pesakit luar dan seterusnya operasi peringkat kedua termasuk melakukan pembedahan seawalnya pada Rabu ini.

BACA JUGA:

PMX ke Turkiye, beri sokongan moral kepada presiden

Motorsikal bertembung, kedua mangsa terkorban

Guna dua bahan ini elak bilik air berbau busuk.. Lipas pun lari tau!