Senarai artis Malaysia yang ada PhD

Senarai artis Malaysia yang ada PhD.

Meniti dunia glamor dan diselimuti populariti bukanlah bererti golongan artis hanya bersandarkan bakat dan nama sahaja.

Kebanyakan artis di Malaysia juga tidak kurang hebat dalam bidang pendidikan. Ramai dalam kalangan mereka kini menggenggam ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang masing-masing.

Tugas dan tanggungjawab artis biasanya menumbuhkan pelbagai persepsi daripada masyarakat.

Senarai artis Malaysia yang ada PhD

Ada segelintir masyarakat yang memandang kedudukan mereka ini sebagai posisi ‘mudah’ dan tidak perlu sebarang usaha.

Pelakon, pengarah dan penerbit, Dr Ahmad Idham berkata, populariti tidak mencerminkan tahap intelektual seseorang individu terutamanya dalam kalangan artis.

Sejauh mana pun seseorang artis itu menggapai tingkat populariti, namun perlu ada ilmu yang terisi dalam dadanya.

“Apa guna belajar tinggi-tinggi kalau setakat jadi artis?

“Saya pernah dilontarkan dengan kata-kata itu di depan muka saya.

“Tapi, saya tak salahkan mereka yang punya persepsi begitu, sebaliknya kita yang berada di dalam industri ini yang perlu buktikan,” katanya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Kerana kata-kata dan persepsi itulah, Idham berusaha keras dan membuktikan bahawa persepsi itu tidak benar sekali gus meletakkan sasaran untuk melanjutkan pelajarannya.

“Paling utama adalah azam dan keinginan. Kena ada sebab kenapa kita nak lanjutkan pelajaran. Untuk saya, saya ada matlamat tersendiri dalam kehidupan.

“Sejak melangkah masuk ke dalam industri hiburan, saya selalu bercakap mengenai alangkah baik sekiranya ada lebih ramai individu berilmu dalam industri kita ini.

“Tanggapan orang ramai mengenai industri kita juga akan berbeza. Tidak hanya mahu sekadar bercakap, saya juga akan buktikan dan tunjukkan kata-kata saya itu,” katanya.

Menurutnya, industri hiburan tanah air memiliki potensi besar untuk pergi lebih jauh sekiranya persepsi negatif itu dapat dipadamkan.

“Kalau ada semangat, tak ada lagi alasan lain untuk menidakkan usaha kita itu. Ini menjadi perjuangan saya sejak hari pertama lagi,” katanya yang kini melanjutkan pengajian peringkat PhD di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ilmu pengetahuan tak merugikan: Wincci

Jika bercerita mengenai pendidikan dalam kalangan artis, nama penyanyi, pelakon dan model, Dr Soo Wincci mungkin dalam senarai paling atas.

Bayangkan dalam tempoh 15 tahun, Wincci berjaya memperoleh ijazah, sarjana dan doktor falsafah (PhD) jurusan muzik di pelbagai negara.

Dia juga diiktiraf sebagai Ratu Cantik Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak dan Artis Rakaman Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak oleh Malaysia Book of Records.

Selain Ijazah Undang-Undang di University of Reading, United Kingdom pada 2007, Wincci juga berjaya memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan, University of Sunshine Coast, Australia (2008).

Kemudian dia melanjutkan pengajian peringkat PhD Pentadbiran Perniagaan di Universiti Terbuka, Kuala Lumpur pada 2016.

Seterusnya pada 2018, Wincci menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Produksi Muzik, Teknologi dan Inovasi di Berklee Valencia, Sepanyol.

Dia kemudian menyambung lagi ke peringkat PhD keduanya dalam bidang artistik produksi.

Bukan calang-calang orang yang boleh menamatkan dua pengajian PhD!

“Seorang artis itu bijak sebab seni dan hasil kerjanya, bukan populariti semata-mata. Bukan sekadar membeli peminat dan goreng saja.

“Lihat artis luar negara, kebanyakan mereka ada bakat dan ilmu. Bila ada ilmu, tak perlu tunggu syarikat produksi tawarkan kerja dan kita masih boleh mencari rezeki.

“Ilmu pengetahuan takkan merugikan. Nak dapatkan PhD memang susah kerana ada pelbagai cabaran termasuklah sistem kuota dan sebagainya,” katanya.

Wincci yang juga pensyarah turut berkongsi bagaimana kecaman yang pernah diterimanya kerana ‘turun padang’ dalam bidang pendidikan, berjaya menyelamatkannya beberapa tahun kebelakangan ini.

“Yang menyelamatkan saya selama beberapa tahun ini adalah ilmu dan pendidikan.

“Walaupun pada awalnya, ada orang kecam saya dan selalu pertikai, kenapa saya ‘turun padang’ untuk belajar dan mengajar. Saya akui, memang susah. Tapi, apa masalahnya kalau artis sambung belajar dan mengajar?” katanya.

Selaku pemain industri dan pendidik, Wincci menyeru agar dunia pendidikan turut diisi golongan anak seni.

“Saya pernah bertemu dan berbincang dengan beberapa menteri. Hala tuju perbincangan itu memang berinovasi dan berteknologi tinggi.

“Sistem pendidikan di negara kita belum cukup baik. Tak ramai orang dari dalam industri hiburan yang masuk ke bidang pendidikan. Antara sebabnya adalah kerana ujian yang sukar. Memang ‘sakit’, tapi jangan takut untuk gagal,” katanya.

Pernah mencipta dan menempa nama di luar negara, Wincci turut berkongsi mengenai kesukaran seseorang artis untuk mendapat tempat di seberang laut, tanpa ilmu dan pencapaian.

“Di beberapa negara seperti China, Sepanyol dan Amerika Syarikat, kalau anda seorang artis, hanya satu hingga dua peratus saja yang akan mendapat visa dan hanya boleh menetap selama setahun.

“Tapi, kalau anda lanjutkan pelajaran hingga PhD dan dapatkan posisi dalam bidang pendidikan, anda boleh menetap selama lima tahun dan mungkin boleh mendapatkan status penduduk tetap secara percuma,” katanya.

‘Usah berhenti menimba ilmu’

Kelincahan dan aura figura bernama Datuk Aznil Nawawi ini tidak perlu disangkal.

Kemunculannya di kaca TV sentiasa membawa satu ‘semangat’ buat program yang diacarakan.

Tidak sekadar itu, bakatnya juga turut tersebar luas dalam bidang lakonan dan nyanyian sehingga menjadikannya sebagai antara artis serba-boleh di Malaysia.

Namun, semua itu tidak datang hanya dengan bakat yang dikurniakan Allah kepadanya. Aznil yang mesra disapa dengan panggilan Pak Nil juga membawa ‘bekal’ ilmu yang ditimbanya.

Aznil dalam temu bual bersama Harian Metro berkongsi pandangannya mengenai kepentingan ilmu dan pendidikan dalam diri anak seni serta persepsi masyarakat terhadap pemain industri.

“Kita dapat melihat perbezaan antara mereka yang memiliki pendidikan, di mana mereka ada imbang balik back-up sekiranya karier atau kerjaya seni mereka tidak menjadi.

“Mereka ada imbang balik iaitu sijil pelajaran mereka, yang mana membenarkan mereka untuk terbabit dalam perniagaan atau bekerja di dalam sektor profesional yang lain.

“Sebabnya, kalau dilihat kepada industri seni kita, ia nampak seperti kerjaya sementara dan tidak menjanjikan kelangsungan,” katanya.

Membuka sesi bual bicara, Aznil yang memegang Ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Malaya (UM) menjentik hati generasi muda untuk tidak pernah berhenti menimba ilmu.

“Kalau anak-anak kita terbabit dalam bidang seni, kita tak dapat meyakinkan mereka akan bertahan lama dan dapat menjadikan ia sebagai kerjaya sepenuh hidup.

“Mungkin anak-anak kita harus diberikan ajaran pendapat, pelajaran itu kena ada dan carilah ilmu sehingga peringkat tinggi,” katanya.

Ditanya pendapatnya mengenai bekerja dan belajar secara serentak, Aznil menganggap itu peluang yang sangat baik buat artis generasi baharu.

BACA :

9 cara jadi orang kaya
Pemandu bas terima pujian ramai, beg penumpang tertinggal dalam bas selamat dikembalikan
Sempat hidang lauk sebelum meninggal dunia, anak-anak menangis makan masakan terakhir mak