Senator Yaakob Sapari positif Covid-19

Senator Yaakob Sapari menjadi ahli politik terbaru yang disahkan positif Covid-19.

Sumber yang dipetik Malaysiakini berkata, Yaakob disahkan positif hari ini selepas menjalani ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag), sehari sebelum beliau dijadualkan menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Kuantan.

Sumber itu berkata, bekas exco Selangor itu mengambil ujian berkenaan secara sukarela untuk memastikan dirinya bebas Covid-19 sebelum berlepas ke Kuantan esok.

“Malangnya, beliau satu-satunya orang yang disahkan positif, manakala anggota lain dalam pasukannya disahkan negatif,” kata sumber itu.

Portal berita itu melaporkan Yaakob sedang menunggu keputusan ujian “polymerase chain reaction” (PCR) yang sepatutnya keluar dalam 48 jam.

Antara acara yang dihadiri Yaakob baru-baru ini ialah sebuah program kebajikan dengan Masdiana Mohamad, isteri Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun dan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah antara ahli politik yang dijangkiti Covid-19.

Sumber:https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/14/senator-yaakob-sapari-positif-covid-19/