Seorang lelaki hilang, bimbang dibaham buaya

Seorang lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika menjala udang di Sungai Oya, di sini, hari ini.

Mangsa, Alibaba Dahri, 52, dari Kampung Kuala Oya dikatakan turun ke sungai berkenaan pada jam 1 pagi namun tidak lama kemudian penduduk kampung menemui perahunya hanyut.

Penduduk kampung kemudian memaklumkan penemuan perahu itu kepada adik mangsa sebelum membuat laporan polis kira-kira jam 4 pagi bagi memohon bantuan mencari dan menyelamat mangsa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 4.11 pagi tadi.

Berikutan itu, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dibantu enam anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Daro serta enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikerah ke lokasi.

“Operasi pencarian diaktifkan pagi tadi dengan tumpuan pada jarak 500 meter dari tempat perahunya ditemui.

“Setakat jam 10 pagi mangsa belum ditemui,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tiga mangsa maut diserang buaya di Sungai Oya dengan kejadian pertama berlaku pada 2017 apabila seorang lelaki hilang sebelah kaki dibaham reptilia itu ketika menjala udang.

Kes kedua membabitkan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 60-an pada 2018, dengan mayatnya ditemui sempurna tetapi dadanya berlubang dipercayai kesan gigitan buaya.

Kejadian ketiga pula berlaku pada 2019 apabila seorang lelaki dibaham buaya ketika mandi di sungai berkenaan.

Berita penuh: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/03/793229/penjala-udang-dikhuatiri-dibaham-buaya