Soal jawab berkaitan belanjawan 2021- Menteri kewangan

(Soalan) S: Bagaimana belanjawan kali ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya?

(Jawapan) J: Saya berpandangan belanjawan kali ini adalah yang paling penting dalam sejarah Malaysia. Ia amat berbeza kerana kita sedang melalui tempoh yang mana saya rasa, krisis terburuk yang belum pernah dialami, tidak hanya di Malaysia malah pada peringkat global. Ia adalah kombinasi krisis kesihatan dan krisis ekonomi.

Namun, kita tidak bersendirian kerana seluruh dunia berdepan masalah sama. Jadi belanjawan kali ini sememangnya penting kerana kita menjangka tahun 2021 kita boleh tunjukkan sedikit pemulihan. Namun, ia bergantung kepada bagaimana kita menguruskan (ekonomi) ketika ini.

Sebenarnya, setakat ini, kita sudah buah empat (fasa) pakej rangsangan, ia seumpama bajet mini, iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS TAMBAHAN, PENJANA dan juga PRIHATIN (Bantuan Prihatin Nasional 2.0), jumlahnya dari segi suntikan fiskal langsung adalah RM55 bilion. Ini sama saiz dengan perbelanjaan pembangunan (DE) Belanjawan 2020. Jadi Belanjawan 2021 adalah yang (pakej) kelima dengan peruntukan lebih besar.

Ia akan menjadi amat berlainan kerana fokusnya adalah untuk menyelamatkan rakyat dan juga ekonomi negara yang mana tumpuannya adalah memperkukuh kesejahteraan rakyat susulan krisis yang kita sedang lalui.

Belanjawan lazimnya adalah peruntukkan untuk lain-lain kementerian, tetapi kali ini ia adalah kombinasi mengenai bagaimana kita mencari penyelesaian, merangsang pertumbuhan ekonomi dan pada masa sama membantu (negara) berdepan ‘perang COVID-19’.

Harapan diletakkan adalah tinggi, kerana ramai (rakyat) yang terkesan, terutama kita berdepan dengan gelombang (penularan pandemik) ketiga. Kita perlu rakyat selamat, pada masa sama, ekonomi kekal bertahan dan berjalan.

Jadi kita perlu mencari jalan untuk menyeimbangkan kedua-dua faktor ini.

Kita sudah menikmati sedikit pemulihan (ekonomi), tetapi yang paling penting ketika ini adalah kita perlu mengekalkannya. Inilah satu-satunya cara untuk memastikan kesan COVID-19 ini dapat dikawal dengan baik.

S: Ketika mengetuai bank dahulu, Tengku sering memberi maklum balas mengenai belanjawan tahunan kerajaan, tetapi kini Tengku dalam kerajaan yang menggariskan belanjawan negara, bagaimana rasanya?

J: Sekarang barulah saya tahu betapa susahnya nak buat belanjawan negara. Kami terpaksa mengambil kira pelbagai maklum balas daripada banyak kumpulan fokus, kerajaan negeri, kementerian berlainan dan sebagainya. Ditambah pula dengan keadaan penularan COVID-19, ia saya kira adalah lebih mencabar kerana pendapatan kerajaan merosot, pada masa sama, perlu berbelanja lebih. Dari segi teori ekonominya, jika pendapatan kurang, maka kita perlu berjimat, tetapi memandangkan kita dalam situasi krisis, khususnya krisis ekonomi dan kesihatan, kerajaan terpaksa berbelanja lebih meskipun pendapatannya kurang. Dan satu-satu cara untuk itu adalah kita terpaksa meminjam dengan lebih banyak. Kalau kita tak berbuat demikian khususnya pada belanjawan kali ini, krisis akan menjadi lebih buruk, rakyat tentunya akan menderita.

S: Bagaimana pula dengan saiz Belanjawan 2021? Bukankah dalam tempoh krisis, bahagian peruntukan perbelanjaan mengurus (OE) sepatutnya lebih besar daripada perbelanjaan pembangunan (DE)?

J: OE kita sememangnya lebih besar daripada DE. Namun, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kita tidak boleh meminjam untuk membiayai OE. Jadi kalau pendapatan kerajaan susut, OE pun turut jatuh. Ia adalah disiplin fiskal yang ditetapkan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Jadi kita hanya boleh meminjam untuk DE dan pinjaman yang kita buat hanya untuk DE, jadi ada penambahan untuk ini dalam Belanjawan 2021.

Ini kita terpaksa lakukan untuk berkembang. Besar kemungkinan, peruntukan (saiz) keseluruhan belanjawan kali ini adalah lebih besar daripada sebelumnya (peruntukkan keseluruhan Belanjawan 2020 adalah RM297 bilion).

Mencipta pekerjaan

S: Secara umum, apakah mesej daripada kerajaan dalam belanjawan kali ini?

J: Secara umum, mesejnya adalah kerajaan tidak akan bertolak ansur dalam menyelamatkan rakyat dan ekonomi. Ini masanya untuk kita semua bekerjasama.

Mengenai kerjasama ini, saya pernah cakap dahulu mengenai GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan) dan GLIC (Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan) banyak membantu rakyat, namun kali ini pihak swasta juga perlu masuk turut membantu. Untuk lebih adil, saya mahu meminta kepada pihak swasta juga turut membantu.

Pada dasarnya bagi saya, sebagai kerajaan, kami perlu melakukan sedaya mungkin bagi mempertahankan apa yang sudah dicapai setakat ini. Ini kerana apabila ekonomi sudah kembali berada dalam landasan pertumbuhan dan ia perlu dipertahankan supaya kapasitinya masih kukuh dari segi kedudukan industri strategik berserta modal insan bagi melonjakkan ekonomi dengan lebih pantas ke peringkat seterusnya.

Bagi rakyat pula, kita perlu mencipta pekerjaan, kita perlu menyelamatkan pekerjaan, ini adalah kuncinya. Kadar pengangguran sekarang tinggi, iaitu 4.7 peratus (pada Ogos). Walaupun susut daripada 5.3 peratus ketika PKP sebelumnya, namun kekal tinggi berbanding purata 15 tahun iaitu antara 3.3 peratus hingga 3.5 peratus. Kita perlu menurunkannya. Jadi belanjawan kali ini juga adalah mengenai pelaburan untuk mencipta pekerjaan.

S: Belanjawan kali ini juga agak berlainan berbanding sebelumnya kerana ia berkait dengan sokongan kepada Perdana Menteri? Apa komen Tengku?

J: Benar, spekulasi ketika ini adalah apa akan jadi dalam sokongan terhadap belanjawan kali ini. Namun, bagi saya, adalah penting untuk menunjukkan bahawa belanjawan ini adalah untuk rakyat dan negara. Saya harap Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak dapat menyokongnya. Terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan, saya berpendapat jika belanjawan ini bagus, dapat menolong rakyat, maka inilah masanya untuk mereka tunjukkan kepada rakyat yang kita tidak berpolitik dalam perkara yang penting seumpama ini.

Kedudukan kewangan negara

S: Kerajaan perlu meminjam dengan banyak untuk membantu rakyat, tidakkah ini menyebabkan hutang kerajaan meningkat dan melonjakkan defisit fiskal?

J: Krisis yang kita sedang lalui ini tiada garis panduan, kerana ia kali pertama seumpamanya. Saya juga meneliti bagaimana negara lain menanganinya. Kebanyakan negara cuba belajar daripada antara satu sama lain serta juga daripada krisis yang berlaku sebelum ini.

Dari sudut sejarah, krisis besar sebelum ini adalah (krisis subprima) pada 2008-2009, yang mana menjejaskan negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Meskipun kita tidak banyak terdedah kepadanya, namun defisit fiskal negara naik hingga kepada 6.7 peratus dan pada masa itu ada dua pandangan mengenai kaedah menanganinya iaitu, satu, membelanjakan wang untuk keluar daripada permasalahan dan satu lagi adalah perbelanjaan yang lebih kecil, tetapi bersasar. Dua tahun selepas krisis itu, didapati negara yang berbelanja lebih akan lebih cepat pulih, berbanding negara yang terlalu berhati-hati dalam perbelanjaan.

Daripada itu kita sedar, ini adalah masanya untuk berbelanja membantu pertumbuhan ekonomi, namun ia juga bermakna kita terpaksa meminjam lebih banyak, justeru hutang negara juga meningkat dalam jangka pendek ini.

Namun, dalam jangka panjang, insya-Allah jika ekonomi dunia balik semula ke landasan lama, kita pasti meraih manfaat daripadanya. Itu masanya kita kembali kepada langkah pengukuhan fiskal, iaitu kurangkan hutang pada masa yang betul.

Sememangnya kita meminjam untuk rakyat. Secara asasnya, kerajaan memiliki OE, tetapi duit ini digunakan untuk tolong rakyat. Pada masa sama, tentunya, DE kena naik untuk kita bangunkan lebih banyak projek, lebih banyak infrastruktur, jadi dalam jangka panjang impaknya lebih besar.

Dari segi OE kita sudah banyak berbelanja menolong rakyat,iaitu menerusi bantuan PRIHATIN dan sebagainya. Setakat ini, Bantuan PRIHATIN Nasional (BPN) RM18.2 bilion sudah disalurkan kepada 10.6 juta rakyat Malaysia. Program Subsidi Upah untuk syarikat dan pekerja yang mana jumlah syarikat yang menerimanya adalah lebih kurang 320,000 majikan dan ini menyelamatkan lebih kurang 2.8 juta pekerjaan dengan kos RM12 bilion.

S: Had maksimum hutang kerajaan sudah dinaikkan kepada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Adakah ini bermakna defisit atau hutang kerajaan akan menjadi lebih besar?

J: Kita belum sampai paras 60 peratus pun. Buat masa ini sekitar 55 peratus (daripada KDNK) sahaja. Kenaikan 1.0 peratus bermakna RM15 bilion, jadi kita (ada ruang) 5.0 peratus lagi atau RM75 bilion. Bagi sasaran defisit kita tahun ini kenaikannya sudah hampir sekali ganda, pada tahun lalu ia adalah 3.4 peratus dan saya rasa tahun ini ia sekitar 6.0 peratus, ia dalam jangkaan.

(Mengenai nisbah hutang) Ia bergantung kepada KDNK, jika KDNK naik, maka defisit akan turun kerana asas ekonomi menjadi lebih besar. Jadi pada tahun hadapan unjuran KDNK berdasarkan BNM adalah 5.5 hingga 8.0 peratus.

(Terdapat risiko) Kalau asasnya susut, maka defisit akan meningkat. Ekonomi pada suku ketiga (tahun ini) adalah baik, namun prestasi suku keempat akan bergantung kepada berapa lama kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

PKPB ketika ini dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Selangor dan Sabah. Kawasan ini menyumbang kira-kira 47 peratus daripada KDNK Malaysia tahun lalu, jadi hampir 50 peratus penyumbang KDNK berada dalam kawasan PKPB.

S: Jika berlaku perkara luar jangkaan, misalnya ancaman COVID-19 berterusan untuk satu tempoh yang lebih lama, sejauh mana kedudukan kewangan kerajaan mampu bertahan?

J: Kini kita berdepan dengan krisis ekonomi, namun begitu kita tidak mengalami masalah kewangan. Ini adalah baik kerana kita masih lagi boleh meminjam dan bank masih lagi boleh memberi pinjaman.

Jika berlaku perkara luar jangkaan, seandainya negara berdepan senario terburuk, misalnya satu gelombang besar COVID-19, kerajaan tidak ada pilihan, selain perlu terus berbelanja untuk kesejahteraan rakyat. Jadi kita akan terus meminjam, ketika ini kerajaan masih memiliki ruang meminjam pada peringkat domestik, tetapi jika keadaan buruk berlarutan kita perlu meminjam pada peringkat antarabangsa, berbuat apa yang perlu untuk rakyat dan negara. Buat masa ini, kita masih berkeupayaan untuk berdepan sehingga berlakunya gelombang keempat penularan.

Negara masih memiliki banyak aset, tetapi adalah lebih murah untuk meminjam kerana kadar faedah semasa yang rendah, iaitu 1.75 peratus dan kecairan dalam pasaran domestik. Kita tidak sentuh pun aset negara ketika ini. Sejumlah 97 peratus hutang negara ketika ini adalah dalam mata wang tempatan.

Jika keadaan berlarutan untuk satu tempoh amat panjang, maka kita perlu meminjam daripada luar. Perkara ini bukan sesuatu yang luar biasa, banyak negara lain sedang berbuat demikian, antaranya Indonesia. Buat masa ini, kita ada ruang untuk meminjam (terbitkan bon) di dalam negara, kita belum menerbitkan bon antarabangsa (misalnya berasaskan dolar Amerika Syarikat atau yen).

S: Jika keadaan bertambah buruk adakah kita perlu meminta bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)?

J: Tak adalah. Itu jika negara kita tidak ada langsung aset. Kita amat jauh daripada keadaan sedemikian.

Moratorium bersasar

S: Bantuan yang sering diperkatakan adalah moratorium bayaran balik pinjaman secara automatik. Adakah kerajaan mengkaji untuk dilanjutkan, memandangkan kes COVID-19 yang semakin meningkat tinggi ketika ini?

J: Tentunya, kita adalah negara pertama di dunia yang melaksanakan moratorium menyeluruh bagi tempoh enam bulan secara automatik. Di negara lain ia perlu dimohon misalnya untuk tiga atau enam bulan.

Jadi dalam tempoh itu, kita sedar bahawa tidak semua memerlukannya. Kita saksikan hampir 7.7 juta atau 97 peratus hingga 98 peratus peminjam yang mengambilnya. Takkan sampai seramai itu tidak boleh membayar pinjaman, susulan itu kita tukar daripada automatik kepada ia perlu dimohon (bersasar).

Berdasarkan rekod Bank Negara Malaysia (BNM), setakat 9 Oktober sejumlah 640,000 permohonan lanjutan dan bantuan bayaran balik diterima oleh semua bank dan kelulusannya hampir 98 peratus. Ini juga menunjukkan ramai yang boleh membayar pinjaman.

Malah, berdasarkan kaji selidik bersama Merdeka Centre, setakat 30 Oktober lalu, sejumlah 70 peratus responden menyatakan mereka tidak perlu moratorium.

Jadi saya rasa bantuan secara bersasar lebih baik kerana pertamanya, jika anda memiliki wang, saya rasa anda sepatutnya membayar balik pinjaman dan dana berkenaan boleh digunakan oleh bank untuk membantu individu yang tidak boleh bayar.

Keduanya, ia seumpama aliran tunai bagi membantu membangunkan negara. Untuk syarikat berkembang ia perlu meminjam. Jika pinjaman tidak dibayar balik, bagaimana bank mahu memberi pinjaman kepada perniagaan.

Satu perkara yang anda perlu ketahui adalah, peminjam dalam jumlah besar, ‘rule 80-20’, iaitu 20 peratus daripada peminjam ini berkemungkinan meminjam 80 peratus daripada keseluruhan jumlah pinjaman.

S: Terdapat cadangan penangguhan atau moratorium bayaran balik pinjaman ini perlu diberi kepada golongan B40 secara menyeluruh. Adakah kerajaan akan mempertimbangkan perkara ini?

J: Ketika ini sasaran (bantuan) adalah lebih kepada mereka yang hilang pekerjaan atau gaji terkesan, tak kira daripada B40, M40 mahupun T20. Namun, ada yang bertemu BNM bertanyakan bagaimana pula dengan B40 yang mana mereka ada pekerjaan, tetapi tetap sukar untuk membayar balik atau mungkin pasangannya terkesan dan pendapatan isi rumah terjejas. Jadi ini saya sedang kaji.

Namun, bagi melaksanakan moratorium (seperti awalnya kepada semua golongan) adalah saya rasa sesuatu yang tidak kena, ia perlu lebih bersasar.

Pengeluaran Akaun 1 KWSP

S: Selain moratorium bayaran balik pinjaman, antara topik hangat yang diperdebatkan dalam media sosial ketika ini adalah cadangan pengeluaran tabungan dalam Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain itu ada juga cadangan minta bantuan bulanan seperti RM500 hingga RM1,000 sebulan untuk individu yang hilang pekerjaan. Adakah ia juga turut mendapat perhatian kerajaan?

J: Untuk KWSP setakat ini, kita sudah membenarkan individu mengeluarkan tabungan daripada Akaun 2, iaitu menerusi Program i-Lestari, yang mana mereka boleh mengeluarkan RM500 sebulan selama 12 bulan, bermula Mac lalu. Sejumlah 4.7 juta individu telah mengeluarkan kira-kira RM11 bilion dari akaun berkenaan setakat ini.

Sekali lagi (didapati), ramai tidak memerlukan, tetapi mengeluarkan tabungan untuk berbelanja.

Sekarang permintaan adalah pada Akaun 1, namun, kerajaan menyedari ada individu yang amat memerlukan jadi sebagai kerajaan yang prihatin kita meneliti perkara ini.

Umumnya cadangan (sedang diteliti) bantuan moratorium bayar balik pinjaman adalah kepada golongan memerlukan dan pengeluaran Akaun 1 pun untuk mereka yang betul-betul memerlukan.

Bantuan Usahawan Bumiputera

S: Ada dakwaan peniaga Bumiputera paling terjejas akibat pandemik COVID-19. Apakah mereka akan mendapat perhatian kerajaan?

J: Ia benar. Jadi belanjawan kali ini memang akan banyak menumpukan kepada golongan Bumiputera. Ramai peniaga Bumiputera terkesan, terutama di bahagian runcit dan sebagainya. Kerajaan akan menyediakan lebih banyak peruntukan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Kita sudah ada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang mana ada penekanan untuk membantu Bumiputera. Jadi Belanjawan 2021 akan konsisten dengan sasaran untuk menyokong dan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi.

Antara agensi yang terbabit adalah Tekun, PUNB, PNB, MARA dan banyak lagi.

Kita tunggulah pengumumannya. Akan ada dana khas bagi setiap agensi untuk meningkatkan saiz penyertaan peniaga Bumiputera.

S: Adakah dana khusus yang Tengku sebutkan tadi adalah dana baharu?

J: Sesetengahnya (dana) sudah ada, tetapi kita akan tambah, setengahnya kita akan tubuhkan. Ini termasuk sektor ekonomi baharu yang disertai Bumiputera seperti digital, tidak hanya tertumpu kepada industri tradisional.

Cukai baharu

S: Pendapatan kerajaan susut. Adakah kerajaan juga mengkaji untuk memperkenalkan cukai baharu atau menaikkan cukai sedia ada?

J: Saya rasa tindakan menaikkan cukai ketika ekonomi lemah bukan satu langkah baik. Prinsip saya, jika kita mahu menjana ekonomi, bukan masa yang tepat untuk mengenakan cukai, namun, jika diturunkan kerajaan kekurangan hasil. Pendapatan kerajaan daripada cukai dan duti eksais sudah susut lebih 20 peratus.

Input parti politik

S: Tengku sudah mengadakan sesi bersama parti politik bagi dapatkan input belanjawan dan banyak usul dikemukakan. Adakah kementerian punyai cukup masa mengkajinya atau terpaksa menangguh pembentangan belanjawan?

J: Pembentangan Belanjawan 2021 tidak akan ditangguhkan, masih lagi Jumaat ini. Sebenarnya sejak 2-3 bulan lalu, kita sudah turun padang berjumpa seberapa ramai kumpulan fokus, kumpulan tertentu dan sebagainya. Malah, saya dan timbalan saya sudah pergi ke semua negeri di Malaysia untuk mendengar cadangan dan baru-baru ini, kerajaan mendengar pula pendapat ahli politik daripada kedua-dua belah pihak. Saya sudah berjumpa dengan pemimpin politik, terutama Ahli Parlimen dari UMNO, Gabungan Parti Sarawak (GPS), PAS, Pakatan Harapan (PH), kelmarin berjumpa dengan MCA dan MIC. Cadangan mereka akan dipertimbangkan. Apa yang penting adalah untuk mereka faham kedudukan semasa ekonomi negara, apakah had dan tumpuan kita. Jadi saya juga berkongsi pencapaian setakat ini, saya tak boleh berkongsi apa ada dalam belanjawan kerana ia rahsia besar. Saya mendengar pendapat mereka dan (usul) yang baik kami kaji, namun kami tidak bolehlah melaksanakan semua cadangan dikemukakan.

Bantuan lain

S: Adakah kerajaan juga mempertimbangkan sebarang pemberian tunai baharu bagi membantu rakyat dan meningkatkan perbelanjaan domestik pengguna?

J: Kita sudah melaksanakan BPN dan BSH khususnya untuk golongan yang mudah terjejas kerana mereka benar-benar memerlukan pertolongan.

Begitu juga dalam belanjawan kali ini, kita membantu rakyat yang benar-benar memerlukan. Ketika ini bukan B40 sahaja, malah M40 pun terkesan. Banyak golongan berdepan masalah, termasuk orang kelainan upaya (OKU) dan wanita. Bagi golongan muda pula mereka risau mengenai peluang pekerjaan, kerana setiap tahun 300,000 graduan memasuki pasaran pekerjaan. Dalam pada itu, peniaga kecil dan baru-baru ini pemandu teksi dan e-hailing terkesan sekali lagi kerana pengguna kembali kurang bergerak.

Apa yang ingin saya sampaikan adalah kerajaan sedang cuba menggunakan data yang ada untuk menghasilkan penyelesaian, namun ia bukan dapat menyelesaikan semua perkara. Kali ini saya rasa ia perlu lebih bersasar kepada yang memerlukan.

S: Memandangkan negara berdepan krisis kesihatan. Adakah kerajaan menyediakan peruntukan khas untuk penghasilan vaksin COVID-19?

J: Kesihatan adalah bidang tumpuan. Kita perlu menyediakan peruntukan untuk pembangunan vaksin. Sama ada ia diumumkan pada belanjawan kali ini, kita belum putuskan masa yang sesuai lagi. Kerajaan sudah menyediakan RM500 juta dalam menyertai pelan peruntukan vaksin COVID-19 global atau COVAX. Ia bagi memperoleh sebahagian daripada bekalan vaksin yang diperlukan. Sama seperti negara lain, kita juga ada berbincang, antaranya dengan China dan Russia. Kita akan melihat perkembangannya dahulu.

S: Apakah perkembangan Sukuk Prihatin setakat ini?

J: Sukuk ini sudah ditutup dan kita sudah berjaya mencapai sasaran. Sasaran awal ialah RM500 juta, tetapi kita berjaya mencapai RM666 juta, walaupun sukuk ini ditawarkan pada kadar yang amat rendah, iaitu dua peratus.

Ramai individu menyertainya, begitu juga dengan syarikat. Tapi kita tidak benarkan pelabur institusi yang berdana besar seperti PNB, Tabung Haji, KWSP, syarikat insurans untuk menyertai sukuk ini. Ia hanya untuk sesiapa yang ingin menolong negara, bukan untuk tujuan pelaburan.

S: Ada cadangan untuk terbitkan lagi sukuk ini?

J: Ini kita sedang pertimbangkan, mungkin untuk pusingan seterusnya kadarnya ialah sifar, tak sebesar sebelum ini. Mungkin ada yang mahu sertai kerana boleh mendapat pengecualian cukai. Kita lihat nanti bagaimana.

S: Kerajaan sebelum ini suka untuk menerbitkan bon luar negara seperti Bon Samurai? Adakah kerajaan kini mahu meneruskan bon sebegini?

J: Tidak, kita sudah membatalkan cadangan kedua mengenai Bon Samurai. Kita mahu terbitkan bon dalam mata wang ringgit sahaja. Saya fikir kini bukan masa sesuai untuk meminjam mata wang asing ketika ini sebab kita masih mempunyai kecairan dalam negara, kadar faedah semasa amat rendah ketika ini dalam Malaysia. Sebanyak 97 peratus pinjaman kerajaan adalah dalam mata wang tempatan ketika

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/749829/saiz-belanjawan-lebih-besar-selamatkan-rakyat-ekonomi