SPRM dialu-alukan siasat SDB

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Shafie Apdal mengalu-alukan langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap Sabah Development Bank (SDB) kerana memberi pinjaman sebanyak RM300 juta kepada Air Asia Berhad.

Dalam kenyataanya Shafie berkata, tiada apa yang tersembunyi atau disembunyikan di sebalik pinjaman itu kerana SDB telah melakukan siasatan dan pertimbangan terbaik serta menyeluruh sebelum kelulusan diberikan.

Air Asia Berhad adalah sebuah syarikat yang berdaftar di Bursa Malaysia, justeru katanya sebarang transaksi bernilai RM300 juta sudah tentu kelulusan diberikan selepas semua syarat pinjaman dipatuhi oleh pemohon.

“Air Asia mempunyai plan pembangunan yang memberi manfaat kepada Sabah mensasarkan sebanyak 100,000 peluang pekerjaan di negeri ini.

“Air Asia juga merancang beberapa projek pembangunan di Kota Kinabalu antaranya stor simpanan hasil pertanian iaitu OurFarm, selain merancang membelanjakan sebanyak RM110 juta untuk membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai hab antarabangsa mereka,” ujar beliau.

Tambah beliau yang juga Presiden Warisan, untuk memasarkan produk pertanian, sistem pengangkutan amat penting oleh itu Air Asia bersedia menyediakan penerbangan agar setiap produk sampai ke destinasi dengan cepat sebelum rosak.

Justeru, katanya kerajaan negeri tidak boleh bergantung kepada satu syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (MAS) semata-mata sebaliknya peranan Air Asia juga tidak boleh diperkecilkan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab memajukan ekonomi, kerjasama erat perlu dilakukan dengan Air Asia kerana jika perancangan mereka berjaya, rakyat Sabah akan meneri manfaatnya,” katanya.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/tiada-apa-yang-tersembunyi-sprm-dialu-alukan-siasat-sdb/