Syarikat ini beri bonus 52 bulan kepada pekerja

Syarikat ini beri bonus 52 bulan kepada pekerja. Firma Taiwan, Evergreen Marine Corp meraikan tahun yang luar biasa dengan memberi bonus besar kepada beberapa kakitangannya.

Syarikat perkapalan berpangkalan di Taipei tu memberikan bonus akhir tahun bersamaan 50 bulan gaji atau pembayaran lebih daripada empat tahun, secara puratanya, demikian menurut laporan Bloomberg, memetik individu yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu.

Saiz ‘durian runtuh’ itu bergantung kepada gred dan fungsi pekerja, dan bonus luar biasa terbabit hanya diberikan kepada kakitangan berpangkalan di Taiwan, kata individu berkenaan, yang tidak mahu dikenali kerana butiran terbabit adalah sulit.

Evergreen Marine dalam satu kenyataan minggu lalu berkata, bonus akhir tahun kebiasaannya adalah berdasarkan prestasi syarikat pada tahun itu dan prestasi individu pekerja.

Habuan besar Evergreen Marine itu adalah hasil daripada lonjakan industri perkapalan yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak dua tahun lalu, dipacu oleh peningkatan permintaan dicetuskan pandemik bagi barangan pengguna dan kadar fret.

Pendapatan syarikat pada 2022 dijangka melonjak kepada 634.6 bilion dolar Taiwan (RM90.5 bilion), meningkat berkali ganda berbanding jualan 2020.

Syarikat ini beri bonus 52 bulan kepada pekerja

Evergreen Marine, yang menjadi tajuk berita pada awal 2021 apabila sebuah kapalnya tersangkut di Terusan Suez, membayar bonus sehingga 52 bulan gaji, lapor Economic Daily di Taipei minggu lalu.

Beberapa pekerja menerima pembayaran setinggi RM284,000 pada 30 Disember lalu, kata akhbar itu, tanpa mendedahkan dari mana maklumat berkenaan diperoleh.

Bagaimanapun, tidak semua pekerja Evergreen Marine bernasib baik.

Pekerja yang berpangkalan di Shanghai merungut diberikan layanan tidak adil selepas hanya menerima bonus antara lima hingga lapan bulan gaji bulanan mereka, lapor Caixin, memetik pekerja tempatan.

Bagaimanapun, pembayaran luar biasa itu mungkin tidak kekal pada masa hadapan.

Syarikat-syarikat perkapalan sudah memberi amaran bahawa pertumbuhan global yang pantas menjadi lemah, ditambah dengan penurunan kadar fret dijangka menjejaskan keuntungan tahun ini.

Saham Evergreen Marine jatuh 54 peratus tahun lalu selepas mencatatkan kenaikan luar biasa 250 peratus pada 2021.

BACA:

Norjuma gelar dirinya Che Puan Sultan Brunei?

Gara-gara Syamsul, Shamsul Ghau Ghau jadi mangsa