Tak perlu tanya vaksin apa – PM

Orang ramai diminta tidak memilih jenis vaksin COVID-19 yang mahu disuntik kerana kesemua vaksin digunakan Kementerian Kesihatan sudah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, semua vaksin yang dibawa masuk ke negara ini sudah disahkan bagus dan selamat digunakan ke atas orang ramai dalam usaha mencegah pandemik COVID-19.

“Kita tidak perlu tanya vaksin apa, Pfizer atau AstraZeneca kerana semua sudah diuji dan diluluskan NPRA iaitu badan yang mengesahkan semua vaksin adalah selamat, bagus dan berkesan digunakan.

“Saya yakin apabila proses vaksinasi ini dapat berjalan secara teratur dan lancar, maka kita harap ia dapat memberi kelebihan kepada negara terutama dalam pemulihan ekonomi,” katanya pada sidang media di Pusat Vaksinasi Klinik Kesihatan Gial di sini, hari ini.

Terdahulu Muhyiddin yang melakukan lawatan kerja sehari ke Perlis, melakukan tinjauan proses pelaksanaan suntikan vaksin COVID-19 di pusat berkenaan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri meminta orang ramai segera melakukan pendaftaran program vaksinasi COVID-19 di aplikasi MySejahtera berikutan proses itu akan dilakukan secara berperingkat dan mengikut giliran ditetapkan.

“Proses vaksinasi ini penting untuk negara kerana di peringkat awal sasaran kerajaan adalah 60 peratus rakyat mesti mendapat suntikan bagi mencapai tahap imuniti kelompok.

“Selepas itu sasaran kita adalah 80 peratus atau hampir 100 peratus penduduk mendapat vaksin kecuali mereka yang berumur 18 tahun ke bawah,” katanya.

Muhyiddin berkata, sekiranya ramai rakyat sudah divaksin dan kes COVID-19 menurun, kerajaan dapat memberi tumpuan kepada usaha pemulihan ekonomi negara dan sektor berkaitan yang lain.

“Antara kelebihan selepas kes COVID-19 menurun adalah ekonomi negara dapat dipulih, perniagaan dapat berjalan seperti biasa dan rakyat dapat kembali menjana pendapatan.

“Selain itu, selepas ini mungkin rakyat yang mahu keluar negara perlu mendapat pengesahan vaksin di pasport sebelum dibenarkan melakukan perjalanan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai permintaan Persatuan Farmasi Malaysia mahu ahlinya menjadi antara penerima awal vaksin COVID-19, Muhyiddin berkata, mereka boleh membuat permohonan itu untuk dipertimbangkan.

Berita penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/793034/tidak-perlu-tanya-pilih-jenis-vaksin-covid-19-pm