Tanah runtuh Kota Kinabalu, dua mangsa maut terkambus runtuhan

Seorang suami bagai hilang kata-kata apabila isteri sarat mengandung bersama anak perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di Forest Hill, Jalan Bundusan petang tadi.

Zul Azmil Omar, 34, berkata, dia tidak berada di rumah sewaktu kejadian berlaku berikutan keluar bekerja manakala isteri dan dua anaknya berada di rumah.

Zul Azmil ketika ditemui di lokasi tanah runtuh yang mengorbankan isteri dan anaknya.

Jelasnya, kali terakhir bertemu isteri sebelum keluar bekerja siang tadi selepas dihubungi rakan malah sempat berpesan kepadanya agar menghubungi saya dengan kadar segera jika berlaku sebarang kejadian.

BACA JUGA : Orang lain yang positif Covid-19, MySejahtera orang lain pula yang ‘merah’

“Saya memang melihat cuaca kurang baik ketika keluar rumah dan hujan mula turun dengan lebat sekitar pukul 2 petang.

“Kira-kira pukul 3.40 petang, saya dihubungi oleh seseorang yang memaklumkan ada tanah runtuh dan meminta saya pulang dengan kadar segera,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sebentar tadi.

Bagaimanapun, Zul Azmil memaklumkan dia sampai lewat di rumah ekoran keadaan jalan yang banjir ketika itu.

“Sebaik tiba, saya dimaklumkan isteri saya meninggal dunia. Isteri saya sedang mengandung ketika ini.

“Seorang anak saya berusia satu tahun selamat manakala seorang lagi yang berusia lapan bulan meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman yang turut berada di lokasi kejadian mengesahkan tiga maut dalam kejadian terbabit.

Katanya, tiga yang maut dikenali sebagai, Salmah Hamid, 25, dan anaknya, Dayana Zul Azmil berumur lapan bulan serta seorang lagi kanak-kanak dikenali sebagai Rosatima Asbirin berusia lima tahun.

Berita penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/09/15/tanah-runtuh-isteri-anak-maut-terperangkap-runtuhan/