Terbongkar!!! Pengedar dadah dalaman pengawal keselamatan didedah

LUMUT, 6 Feb — Polis menahan dua lelaki warga tempatan termasuk seorang pengawal keselamatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM5,000 dalam dua operasi di sekitar Daerah Manjung sejak Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata dalam operasi pertama kira-kira pukul 6 petang pada 4 Feb lepas, pengawal keselamatan di Jeti Lumut berumur 37 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Seri Manjung, di sini.

Katanya pemeriksaan ke atas beg silang suspek yang disyaki seorang pengedar dadah telah menemukan 18 paket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 49 gram (g) dan syabu kira-kira 4.5g dengan nilai keseluruhan RM2,920.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala ujian saringan awal air kencing menunjukkan suspek positif methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam operasi kedua semalam, Nor Omar berkata pihaknya menahan seorang tukang kebun berumur 35 tahun di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Batu 12, Segari, di sini kira-kira pukul 6 petang.

Nor Omar berkata pemeriksaan ke atas beg silang suspek menemukan dadah jenis heroin seberat 16g serta ganja sebanyak 21g dengan anggaran nilai keseluruhan RM2,000.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dengan dadah dan ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis morfin, ” katanya.

Nor Omar berkata pengawal keselamatan terbabit direman tujuh hari bermula semalam manakala tukang kebun juga direman untuk tempoh sama bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Bernama