Terkejut warganet tengok harga kepungan kubur dan batu nisan. Setiap yang bernyawa pasti akan mati.
Begitulah ayat yang jelas menggambarkan bagaimana pengakhiran hidup setiap manusia di muka bumi ini.
Terbaharu, sekeping foto memaparkan senarai harga ‘tempahan kepungan kubur dan set nisan’ tular di laman Twitter sehingga menjadi perbualan ramai.
Jenis kepungan yang diperbuat daripada marmar (marble) ditawarkan pada harga RM2,700 bagi jenazah dewasa dan RM1,450 bagi jenazah bayi.
Jenis kepungan jubin (tiles) pula berharga RM1,500 untuk jenazah dewasa dan RM900 untuk jenazah bayi.
Jenis terakhir iaitu simen (terazo) pula dibuat pada harga RM1,000 untuk jenazah dewasa dan RM500 bagi jenazah bayi.
Pada papan iklan berkenaan, turut tertera logo Majlis Perbandaran sebuah kawasan dalam Selangor serta nombor telefon dan alamat laman sesawang mereka.
“Dapatkan borang permohonan sekarang,” tulis ayat pada papan iklan tersebut.
Untuk rekod, foto berkenaan dikongsi oleh seorang peguam dan aktivis, Azira Aziz menerusi akaun Twitter @ladymissazira.
Di ruangan balas, ramai netizen turut memberikan pendapat mereka berhubung senarai harga berkenaan.
Malah, ada segelintir individu turut berkongsi foto pusara ahli keluarga mereka yang dihias ringkas, hanya dengan batu sungai dan pokok.
“Arwah ayah, kami guna batu sungai je. Arwah pernah cakap kalau dia meninggal jangan buat kubur dia guna batu nisan. Guna batu sungai. Buat rendah-rendah, jangan buat kerusi untuk orang ziarah duduk. Arwah cakap tak nak kacau hak orang lain.
“Tanah wakaf ni untuk orang ramai. Lepas jenazah tu dah hancur orang lain pula nak guna tanah tu. Nak buat batu nisan pun berpada je la. Kalau tanah sendiri lainlah cerita. Itu pun tak dibenarkan syarak menghias kubur berlebihan.
“Kubur arwah atok hanya letak pokok bunga puding kanan kiri. Kubur pun dah rata disebabkan tadahan air hujan, tanah mendap. Pihak masjid nak buat macam ada nampak kubur sikit, tambun tanah tapi family tak bagi, cukuplah ratakan dan tandakan dengan pokok je. Memadai dah.
“Dah mati pun kos. Hidup susah mati pun susah,” tulis beberapa netizen.
Semakan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menyatakan larangan ke atas perbuatan tersebut.
Kami menukilkan keterangan di dalam kitab Fiqh al-Manhaji (1/617-618):
Makruh membina kubur sama ada di sebelah dalam atau di luarnya dengan bahan yang menyerap bahang panas seperti simen, batu kapur dan seumpamanya. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Jabir RA, katanya:
نهى رسُولُ اللهِ صلى اللهُ عليهِ وسلم أن يُجصص القبرُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang pembinaan kubur dengan batu kapur.” Riwayat Muslim (970)
Walau bagaimanapun pembinaan kubur dengan batu marmar dan seumpamanya adalah haram. Ini kerana perbuatan tersebut sangat bertentangan dengan larangan Rasulullah SAW di samping terdapat unsur-unsur pembaziran yang ditegah oleh syarak serta unsur-unsur kemegahan dan kebanggaan yang dicela oleh agama.
Makruh tahrim meninggikan kubur dan membuat binaan di atasnya sebagaimana yang dibuat oleh kebanyakan orang hari ini. Menurut sunnah bahawa kubur tidak boleh ditinggikan melebihi sejengkal dari paras tanah.
BACA:
Tahi cicak tepi tingkap hilang dengan mudah, guna bahan ini sahaja
India sekat eksport gandum, menteri minta rakyat Malaysia jangan risau
BMW X5 potong ‘Q’ bikin ramai geram, sekali JPJ muncul semua bersorak