Terkini !! Umno putuskan tiada kerjasama dengan Anwar

Tan Sri Annuar Musa mengingatkan ahli UMNO supaya tidak menggadai prinsip asas parti tersebut, sambil menegaskan kepentingan istiqamah dalam perjuangan parti.
Menerusi satu ciapan di laman Twitter peribadinya hari ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu menegaskan UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, sebaliknya merupakan satu wadah perjuangan.

“Istiqamah besar maknanya dalam perjuangan.
“Usah gadai prinsip asas kerana UMNO itu satu wadah, bukan sekadar sebuah parti politik,” katanya.

Dalam hantaran tersebut, Annuar turut mengepilkan berita berhubung sokongan UMNO terhadap kerajaan Perikatan Nasional susulan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung hampir empat jam di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur malam tadi.

Dalam satu kenyataan, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO mengekalkan keputusan untuk menjalin kerjasama dengan PN tanpa PKR dan DAP.
Sementara itu, dalam satu ciapan berasingan, Annuar berkata BN kekal beristiqamah bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan yang diperkenankan.

Pada Isnin, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui beliau adalah Ahli Parlimen yang mencadang rundingan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti mana yang dilaporkan beberapa media sebelum ini.

Bagaimanapun, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada lewat Isnin memutuskan menolak sebarang kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Berita penuh :https://www.astroawani.com/berita-politik/gadai-prinsip-umno-jika-kerjasama-dengan-anwar-dap-annuar-musa-265464