Tiada unsur salahguna kuasa lantik abang PM Pengerusi NAFAS, kata TI-M

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan berpandangan tidak berlaku sebarang campur tangan atau salah guna kuasa dalam lantikan Zamri Yaakob sebagai Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Katanya, walaupun Zamri adalah abang kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, namun lantikan untuk jawatan itu dibuat Ahli Lembaga Pengarah.

“Saya tidak nampak perkara ini (lantikan Zamri) adalah ‘conflict of interest’.

BACA JUGA : Panas !!! Sultan Johor dukacita dengan KDN, mahu jumpa PM

“Lagipun, yang pilih (lantik) beliau adalah Ahli Lembaga Pengarah (NAFAS),” katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Zamri sebagai Pengerusi AJP NAFAS yang menjadi bualan warganet.

Pertikaian mengenai lantikan itu disebabkan Zamri adalah abang kepada Perdana Menteri.

Terdahulu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz berpendapat pelantikan Zamri tidak salah dari segi etika kerana ia berdasarkan kelayakan dan kemampuannya dalam bidang berkaitan.

Nazri percaya Zamri yang sebelum ini adalah Pengerusi Pertubuhan Peladang Pahang, tiada kaitan dengan Perdana Menteri kerana ia dimuktamadkan Ahli Lembaga NAFAS.

“Dia ada kebolehan, takkan kerana dia abang kepada PM, dia tak boleh buat kerja apa-apa. Tun M (Mahathir Mohamad) dulu pun cakap begitu juga, anak-anak dia diberi jawatan macam-macam, tapi dia kata tak boleh nak halang sebab orang lantik dia.

“Jadi, dalam isu ini, kita tak boleh nak marah (PM), tiada isu pun…masing-masing ada kebolehan untuk manfaat negara,” katanya kepada FMT.

Pada 13 Sept lalu, NAFAS melalui Facebooknya memuat naik catatan mengucapkan tahniah atas pelantikan Zamri menerajui AJP pertubuhan berkenaan.

Bagaimanapun, pengumuman itu dikritik warganet yang majoritinya mendakwa pelantikan itu sebagai “Keluarga Perdana Menteri”.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman menyambut baik pelantikan itu yang disifatkannya bukan perkara besar.

“Kecil punya hal,” katanya ringkas ketika diminta mengulas dakwaan pelantikan itu adalah “Keluarga Perdana Menteri”.

Untuk rekod, Ismail yang juga Naib Presiden Umno dan Ahli Parlimen Bera merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik.

Berita penuh -FMT