Tumpuan parlimen hari ini berkait isu pencerobohan nelayan asing, kemasukan pekerja asing

Tumpuan parlimen hari ini berkait isu pencerobohan nelayan asing, kemasukan pekerja asing.

Isu pencerobohan nelayan asing dan usaha mempercepat kemasukan pekerja asing bagi menyelesaikan masalah kekurangan pekerja, ialah antara tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, soalan berhubung isu pencerobohan nelayan asing di kawasan Laut China Selatan diajukan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) pada sesi soal jawab.

Beliau mahu Menteri Dalam Negeri menjelaskan usaha kerajaan untuk mengatasi isu berkenaan yang boleh menjejaskan pendapatan nelayan tempatan dan mencerobohi kedaulatan negara.

Turut tersenarai ialah soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Menteri Sumber Manusia mengenai usaha kerajaan mempercepat kemasukan pekerja asing, jangkaan tempoh masalah kekurangan pekerja asing akan diatasi dan bentuk kelonggaran diberikan kepada majikan.

Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pula meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah untuk menyatakan sama ada kerajaan berhasrat memberi wang tunai secara sekali beri kepada penoreh getah yang terjejas akibat hujan hampir sepanjang tahun dan faktor harga getah rendah.

Selain itu, isu kesesakan di Jabatan Kecemasan hospital seluruh negara akan diajukan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang meminta penjelasan Menteri Kesihatan berhubung rancangan kementerian untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Selesai sesi itu, Ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian menyambung semula sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Turut dijangka menjadi tumpuan ialah sesi pembentangan untuk bacaan kali pertama Rang Undang-undang (RUU) Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 29 hari hingga 30 Mac depan.

BACA JUGA:

PMX ke Turkiye, beri sokongan moral kepada presiden

Motorsikal bertembung, kedua mangsa terkorban

Guna dua bahan ini elak bilik air berbau busuk.. Lipas pun lari tau!