Angkara makan daging bangkai lembu sakit ditanam 7 bulan lepas, tiga maut.
KES penularan antraks melanda Kabupaten Gunungkidul, Yogyakarta, Indonesia selepas terdapat penduduk bertindak menyembelih lembu ternakan yang sudah mati untuk dimakan.
Setakat ini, direkodkan tiga orang penduduk dari Dusun Jati, Candirejo, Kecamatan Semanu, meninggal dunia sementara 93 individu lain dikenal pasti positif jangkitan antraks dan harus menerima rawatan intensif di hospital.

Ketua Penternakan dan Kesihatan Haiwan Daerah (DPKH) Gunungkidul, Wibawa Wulandari berkata, perbuatan menyembelih dan memakan lembu sudah mati itu turut melibatkan haiwan tersebut yang sudah ditanam.
“Lembu itu sakit, kemudian kita sudah kuburkan dengan prosedur operasi standard. Tapi ada dalam kalangan penduduk yang gali kembali kubur haiwan tersebut dan menjadikannya sebagai makanan,” ujar Wibawa.
Ketua Kesihatan Haiwan Gunungkidul, Retno Widyastuti memaklumkan secara keseluruhannya terdapat enam ekor lembu dan enam ekor kambing didapati positif antraks dan mati di dusun terbabit.
Bagaimanapun, pihak makmal hanya boleh membuat penilaian terhadap tanah di dusun terbabit memandangkan tiada bangkai haiwan tersebut yang ditemui.
“Yang kita periksa di makmal itu bukan darah atau daging lembu berkenaan, tetapi tanahnya yang tercemar saat haiwan tersebut disembelih,” ujarnya yang turut menjelaskan bahawa kematian ternakan tersebut berlaku pada November tahun lalu.
View this post on Instagram
Wakil Bupati Gunungkidul, Heri Susanto memaklumkan sudah menjadi kebiasaan penduduk di kawasan tersebut untuk menyembelih haiwan yang sakit untuk dijual bagi mengelakkan kerugian.
Jelasnya, amalan menyembelih dan memakan daging lembu ternak yang mati itu juga menjadi punca antraks kerap berlaku di kawasan Gunungkidul.
Namun, Heri berkata, penduduk sudah dinasihatkan untuk menghentikan perbuatan tersebut yang dikenali dengan istilah mbrandu.
BACA :