[Video] Meradang tidak dapat duit, bekas banduan baru keluar seminggu tergamak bakar rumah ibu

SEORANG bekas banduan disyaki membakar rumah ibunya di Jalan Iskandar, Kampung Bukit Kapar di sini, semalam selepas tidak dapat wang seperti yang dimintanya.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata pihaknya menerima laporan kira-kira jam 3.30 petang berhubung kebakaran rumah daripada seorang kerani wanita berusia 37 tahun yang merupakan anak saudara kepada suspek.

Katanya, mangsa yang berada di tempat kerja telah bergegas pulang dan mendapati pihak bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Berdasarkan siasatan mendapati rumah tersebut adalah rumah kampung jenis berkembar dengan mangsa tinggal bersama bersebelahan rumah suspek.

“Sebelum kejadian, suspek dikatakan telah berjumpa dengan ibunya tidak jauh dari tempat kejadian bagi meminta wang tetapi gagal.

“Suspek telah membuat ugutan kepada ibunya bahawa dia akan membakar rumah sekiranya ibunya tidak memberikan wang sebelum beredar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vijaya Rao berkata, bertindak hasil maklumat suspek berjaya ditahan kira-kira jam 6 petang di sekitar lokasi kejadian.

“Semakan mendapati suspek baru seminggu keluar dari penjara atas kesalahan berkaitan dadah.

“Siasatan masih dijalankan sama ada wang yang diminta tersebut adalah untuk beli dadah.

“Suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber : MP