Polis sedang mengesan pemilik perakam video papan pemuka yang memaparkan kanvas lori tercabut dan menyelimuti penunggang serta pembonceng motosikal di belakangnya mengakibatkan mereka hampir digilis treler.
Kejadian yang tular di media sosial itu dipercayai berlaku di Kilometer (KM) 33.5 Jalan Puchong berhampiran susur menghala Kajang, dekat Sepang, pada jam 8 pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan daripada pemandu kenderaan dan mangsa terbabit.
“Kanvas lori yang tercabut itu mengakibatkan penglihatan penunggang berkenaan terhalang dan motosikal ditunggang mereka terlanggar sisi kanan treler di lorong kiri sebelum mangsa terjatuh ke jalan.
“Identiti pemandu, mangsa dan nombor pendaftaran kenderaan berkaitan masih belum dipastikan lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Hari ini tular video memaparkan penunggang dan pembonceng motosikal nyaris maut digilis treler kanvas yang tercabut dari lori terbang menyelimuti dan menutup pandangan mereka sehingga terjatuh ke jalan.
Menerusi rakaman kamera papan pemuka kenderaan yang tular, kanvas yang melayang itu ‘membalut’ badan dua individu yang sedang menaiki motosikal menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan terlanggar tayar treler yang bergerak laju.
Kedua-dua mereka terjatuh di jalan raya namun bernasib baik kerana tidak cedera.