[Video] Wanita ini luah rasa kecewa, KFC nafikan hak OKU

Pandu lalu merupakan antara kemudahan yang diberikan kepada pelanggan untuk membeli makanan tanpa perlu keluar dari kereta dan memudahkan para pelanggan. Apakah perasaan anda apabila hak anda dinafikan untuk membeli makanan secara pandu lalu kerana anda ‘istimewa’?

Terbaharu, pengguna TikTok @aira_meor telah berkongsi luahan kekecewaan apabila dirinya tidak boleh membuat pesanan di pandu lalu KFC. Aira merupakan seorang kelainan upaya kerana pekak bisu dan mahu membuat pesanan di pandu lalu tetapi dirinya diminta untuk masuk ke dalam restoran untuk membuat pesanan.

Sy kecewa sikit buat kali 2. Xpe sy merayu pihak KFC HQ menaik taraf screen utk Pekak. #kfc #tiktokmalaysia #bahasaisyaratmalaysia #fyp #deafawarness

Bayangkan perasaan Aira yang sudah lapar dan beratur di kaunter pandu lalu tetapi perlu masuk ke restoran pula untuk membuat pesanan. Menurut pekerja KFC itu, Aira perlu membuat pesanan di dalam kerana tidak boleh mengambil pesanan melalui ‘screen’ sedangkan sebelum ini boleh. Oleh itu, Aira mahu suara kecilnya didengar dan meminta pihak KFC menaik taraf screen untuk golongan pekak bisu.

Video tersebut tular di media sosial dan mendapat perhatian netizen. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan rasa simpati kepada wanita tersebut yang terpaksa berdepan dengan situasi seperti itu.

Malah, para netizen juga mendesak agar pihak KFC menaik taraf sistem mereka agar kejadian seperti ini tidak berulang dan orang kurang upaya juga akan mendapat layanan sama rata. Bukan itu sahaja, para netizen turut menzahirkan rasa kecewa kerana layanan yang diberikan kepada wanita terbabit.

Lantaran video yang tular itu, pihak KFC telah meminta maaf kepada wanita tersebut dan mengatakan tindakan sewajarnya telah diambil. Diharap dengan perkongsian wanita ini, tiada kejadian seperti ini berulang dan dapat memberi kesedaran kepada orang ramai.