Wanita cedera selepas terjun dari tingkat atas rumah yang terbakar

Wanita cedera selepas terjun dari tingkat atas rumah yang terbakar

Seorang wanita cedera selepas terjun dari tingkat dua rumahnya di Taman Lai Pau, di sini, yang terbakar dalam insiden jam 10.30 pagi tadi.

Menurut Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi Bomba (PGO) Sarawak, kebakaran memusnahkan sepenuhnya tingkat atas kediaman berkenaan.

“Wanita itu keluar dari bahagian pintu belakang tingkat atas lalu terjun bagi menyelamatkan diri. Seorang lagi mangsa, juga wanita turut berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral dan BBP Lopeng bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 10.41 pagi.

Selepas setengah jam bertungkus-lumus, api akhirnya berjaya dikawal pada jam 10.50 pagi dan wanita yang cedera dihantar ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

Hasil laporan awal mendapati tingkat dua kediaman keluarga itu musnah sepenuhnya, namun api tidak merebak ke tingkat bawah.

BACA JUGA:

IDEAS, SBI setuju dengan pandangan Tun M: Harga barang meningkat kerana rasuah

Pembinaan bangunan yang runtuh di Turkey akibat gempa bumi, 113 waran tangkap dikeluarkan

16 kawasan terjejas akibat ribut, salah satunya Zoo Melaka serta Taman Botanikal Ayer Keroh