Wanita mengaku salah melacurkan diri di Kuala Pilah

Seorang wanita didenda RM4,000 di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melacurkan diri di sebuah hotel di daerah ini, 1 Ogos lalu.

Tertuduh, Junaidah Michael Reni Martin, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Sarawak itu mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah hotel di Pusat Komersial Melang, dekat sini, jam 11.50 pagi, 1 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’Atiqah Sapari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Saiful menetapkan hukuman denda RM4,000 serta empat bulan penjara sekiranya tertuduh gagal melunaskan denda berkenaan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjadi orang tengah bagi aktiviti pelacuran.

Tertuduh, Lim Kevis, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bertindak sebagai orang tengah bagi aktiviti persundalan ke atas Junaidah Michael Reni Martin, pada tarikh, masa dan tempat sama.

Tertuduh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan dengan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan sebatan dan denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Christhoper Anak Manan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi serta melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 September depan.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/746265/mengaku-salah-melacur-di-hotel-di-kuala-pilah-metrotv