Zakat Negeri Kedah permudah urusan bantuan

Individu hilang pekerjaan yang dikategori sebagai asnaf di negeri ini boleh terus memohon bantuan melalui penolong amil di kariah atau kampung masing-masing tanpa perlu ke Pejabat Zakat Daerah.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Zakaria Othman, berkata amil yang dilantik akan membuat pemantauan ke atas individu dan keluarga supaya bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang layak sahaja.

Beliau berkata, amil yang dilantik akan membuat bancian siapa yang benar-benar layak menerima bantuan makanan sebagai permulaaan dan kemudian mereka akan mengemas kini maklumat individu yang memerlukan di Pejabat Zakat Daerah

“Jika benar-benar golongan yang hilang kerja ini terputus sumber pencarian keluarga, tidak lagi mampu bekerja seperti sakit selain tidak mempunyai simpanan dan sebagainya maka mereka akan diberikan bantuan kewangan bulanan LZNK.

“Jika individu terbabit terputus bekalan makanan, mereka juga boleh mendapatkan bekalan makanan di bank makanan yang disediakan di masjid kawasan berkenaan.

“Kita alu-alukan mereka yang hilang kerja dan sudah termasuk dalam golongan asnaf terus memohon bantuan melalui penolong amil di kariah atau kampung masing-masing tanpa perlu hadir ke Pejabat Zakat Daerah,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, mereka yang dikategori asnaf sama ada sebab hilang kerja, sakit atau kemalangan layak terima bantuan zakat, tetapi jika sekadar baharu hilang kerja dan masih mempunyai simpanan untuk tanggung keluarga serta komitmen tinggi contohnya disebabkan pembelian kereta mewah, maka belum boleh dikategori asnaf.

“Mereka masih boleh mendapat bantuan kerajaan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), bank dari sudut morotarium dan lain-lain,” katanya.

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/11/755303/lznk-permudah-urusan-bantuan-mereka-hilang-pekerjaan